Enam lampu isyarat baru di Jalan BMC | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KAJANG Syarikat konsesi lebuh raya Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) sedang memasang enam lampu isyarat baru di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras di sini yang sebelum ini menimbulkan pertikaian antara penduduk di situ dan syarikat tersebut.

Menteri Kerja raya Datuk Mohd Zin Mohamed berkata pemasangan lampu isyarat baru itu adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

"Kerja pemasangan lampu isyarat berjalan lancer dan telah dimulakan dua hari lepas dan dijangka siap Jumaat ini dengan dipantau oleh Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM).  

"Buat masa ini terdapat empat lampu isyarat dan ia tidak mencukupi bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di empat simpang utama Bandar Mahkota Cheras," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja pemasangan lampu isyarat itu, semalam.

Beliau berkata kementeriannya juga turut mengarahkan Grand Saga untuk membuat kerja penurapan jalan dan membaik pulih jalan yang tidak rata selepas kerja-kerja pemecahan tembok penghadang konkrit dilakukan minggu lepas.

Pemasangan enam lampu isyarat baru tersebut menelan kos kira-kira RM200,000.

Grand Saga dan penduduk Bandar Mahkota Cheras bertelagah apabila penduduk memecahkan tembok konkrit yang dibina oleh Grand Saga di persimpangan jalan Bandar Mahkota Cheras.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari Bandar Mahkota Cheras ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebug Raya Cheras-Kajang, yang mahu mengelak daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Selepas tembok asal di pecahkan pada 21 April lalu, Grand Saga telah membinanya semula sebanyak dua kali, namun kedua-duanya dipecahkan semula oleh penduduk.

Menurut Mohd Zin, Grand Saga berhak menuntut kerugian daripada pemaju perumahan Bandar Mahkota Cheras (BMC), Narajaya Sdn Bhd (Narajaya) berhubung pembukaan jalan berkenaan.

Katanya, kerajaan yang mempunyi perjanjian konsesi dengan Grand Saga tidak menanggung sebarang kerugian berdasarkan jaminan yang diberikan syarikat konsesi itu sebelum ini.

"Kerajaan meminta Grand Saga tidak pasang tembok, mereka setuju jalan ini dibuka. Dalam masa sama mereka mempunyi hak untuk menuntut kerugian daripada Narajaya. Kita haraf isu ini dapat diselesaikan dan orang ramai terus dapat menggunakan laluan ini," katanya.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian