Grand Saga tarik balik permohonan injunksi | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 24 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan syarikat konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) menarik balik permohonan injunksi bagi menghalang Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras (BMC) dan dua lagi daripada merobohkan tembok penghadang di persimpangan jalan itu. 

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membuat keputusan tersebut selepas permohonan Grand Saga untuk berbuat demikian tidak mendapat bantahan daripada pihak-pihak defendan.

Beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos kes itu.

Terdahulu, peguam Tharminder Singh yang mewakili Grand Saga memohon untuk menarik balik permohonan injunksi berkenaan dengan alasan ia sudah menjadi 'akademik'.

Katanya, ia berikutan pertikaian kedua-dua pihak berhubung tembok penghadang itu telah pun selesai dengan keputusan Kabinet pada 30 Mei lalu. 

Dalam permohonan itu, Grand Saga menamakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan, Tan Boon Wah; Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu sebagai defendan.

Peguam Yap Boon Hau hadir mewakili Boon Wah, manakala Ronnie diwakili peguam N. S. Guok, Keppy Wong. Tiada wakil yang hadir bagi pihak MPKj.

Kontroversi antara kedua- dua pihak tercetus apabila penduduk BMC marah setelah laluan ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang disekat dengan tembok penghadang oleh Grand Saga pada Januari 2006.

Tembok itu dibina bagi menghalang kemasukan terus trafik dari BMC ke Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang, untuk mengelakkan daripada membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.

Pada 21 April 2008, Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan BMC memecahkan tembok itu dan mereka turut berkawal untuk memastikan laluan itu tidak ditutup semula.

Selepas tembok asal dipecahkan, Grand Saga membinanya semula sebanyak dua kali, namun dipecahkan semula oleh penduduk.

Pada 12 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan penduduk BMC bagi mendapatkan perintah injunksi menghalang Grand Saga membina semula tembok penghadang di persimpangan jalan BMC.

Bagaimanapun, pada 30 Mei lalu, Kabinet mengarahkan laluan BMC ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuh Raya Cheras-Kajang yang mencetuskan kontroversi sejak dua tahun lalu itu dibuka serta- merta.

Laluan tersebut akan terus dibuka sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung pertikaian penutupan laluan itu antara pemegang konsesi lebuh raya, Grand Saga dan pemaju BMC, Narajaya Sdn. Bhd. (Narajaya).

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia