Kontraktor bumiputera bimbang terjejas | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

OHOR BAHRU 27 Jun - Kenaikan harga bahan binaan yang terlalu tinggi dan mendadak terutamanya besi keluli akhir-akhir ini, menyebabkan lebih 4,000 kontraktor bumiputera di Johor berhadapan dengan kemungkinan terpaksa 'gulung tikar' dalam tempoh terdekat ini.

Yang DiPertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor, Ir. Mahmood Amir berkata, golongan kontraktor di Johor serta di seluruh negara secara amnya memerlukan bantuan segera daripada kerajaan bagi menangani masalah yang amat kritikal ini.

"Kami meminta kerajaan melakukan sesuatu dengan segera di dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini untuk menangani kenaikan harga bahan-bahan binaan yang melambung terlalu tinggi dan secara mendadak.

"Jika tiada langkah penyelesaian dalam jangka masa terdekat ini, kami bimbang akan gulung tikar dan syarikat hanya tinggal pada nama sahaja," katanya kepada Bernama di dalam satu temuramah eksklusif di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, kenaikan besi keluli dan bahan binaan yang lain seperti simen, konkrit dan lain-lain, berpunca daripada kenaikan harga minyak serta langkah kerajaan membatalkan larangan eksport besi negara baru-baru ini.

Beliau memberi contoh, harga satu tan besi keluli bersaiz 6mm hingga 10mm yang melonjak sebanyak 55.67 peratus kepada RM3,859 baru-baru ini berbanding hanya RM2,479 sebelum pembatalan langkah eksport itu.

"Harga besi keluli tersebut pada minggu lepas meningkat kepada RM4,000 satu tan atau kenaikan sebanyak RM100 seminggu. Bagaimana kontraktor boleh 'survive' di dalam keadaan ini," katanya.

Mahmood berkata, harga pelbagai jenis besi keluli yang digunakan untuk pembinaan seperti "12mm", "16mm-10mm" dan lain-lain telah meningkat di antara 46 hingga 76 peratus sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, harga bahan binaan lain seperti pasir untuk kerja-kerja membuat konkrit turut melambung di antara 30 hingga 35 peratus bagi sebuah lori, batu bata (29 hingga 39 peratus), simen (8 hingga 22 peratus), atap (23 peratus) serta pintu kayu dan besi yang meningkat sehingga 34 peratus. 

Katanya, disebabkan kenaikan harga bahan binaan yang melambung itu, kos sebenar sesuatu projek kerajaan yang mereka laksanakan kini turut melambung antara 30 dan 40 peratus berbending harga yang ditetapkan pada kontrak.

Mahmood seterusnya meminta kerajaan merangka satu mekanisme bagi menangani masalah perubahan harga bahan binaan yang terpaksa ditanggung oleh kontraktor ketika melaksanakan projek-projek kerajaan.

"Kami bukan meminta kerajaan membantu kami untuk membuat keuntungan, tetapi mencari mekanisme untuk mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa kami hadapi ketika ini," katanya. 

Beliau berkata, untuk menangani kenaikan harga bahan binaan terutamanya besi keluli itu, beliau mencadangkan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengepalai usaha mengimport besi keluli dari luar negara untuk kegunaan tempatan.

"Langkah mengimport besi keluli itu penting kerana syarikat besi tempatan ketika ini lebih berminat mengeksport produk mereka kerana faktor keuntungan, daripada memenuhi permintaan tempatan," katanya.

Menurutnya, pembabitan GLC itu adalah penting kerana usaha membawa masuk besi keluli dari luar negara menerusi mereka adalah lebih cepat, berbanding jika ia dilakukan sendiri oleh kontraktor sendiri.

Beliau difahamkan, jika syarikat kontraktor mahu membawa masuk sendiri besi keluli dari luar negara, ia akan mengambil masa selama enam bulan dan membabitkan kos RM15 juta.

Tarikh
Surat Khabar
Mingguan Malaysia