Syor belakangkan VOP harga binaan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan meminta Kementerian Kewangan membelakangkan (backdate) penetapan kadar perubahan harga (VOP) besi binaan bagi projek kerajaan mulai 12 Mei lalu, sehingga permulaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kira-kira dua tahun lalu bagi mengurangkan beban kontraktor berikutan kenaikan mendadak harga besi. 

Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata semakin ramai kontraktor, khususnya kontraktor Bumiputera kelas F merintih kerana tidak mendapat untung, malah ada yang mengalami kerugian akibat ketidaktentuan harga besi dan bahan binaan lain di pasaran serta kenaikan harga minyak. 

"Bagaimanapun, ini keputusan Kementerian Kewangan tetapi saya akan bangkitkan lagi isu ini dalam perjumpaan seterusnya dan pada masa sama, kita akan cari kaedah lain bagi menstabilkan harga besi serta bahan binaan lain bagi membolehkan kontraktor membuat anggaran kos dengan lebih baik, sekali gus mengelakkan kerugian. 

"Antara lain, kerajaan turut menimbang kemungkinan mewujudkan stok penimbal bahan binaan bagi mengawal harga, menambah senarai 16 barang binaan yang kini terikat dengan VOP kepada 80 barangan dan mengesyorkan cukai import 10 peratus bagi simen dimansuhkan. 

"Saya juga akan mengemukakan permintaan kontraktor supaya diberi bayaran ex-gratia kerana menyiapkan projek mengikut jadual walaupun mengalami kerugian berikutan kenaikan harga bahan binaan," katanya pada sidang media selepas sesi perjumpaan dengan kontraktor yang melaksanakan projek di bawah RMK-9 dari seluruh negara, di sini semalam. 

Beliau berkata, cadangan mewujudkan stok penimbal akan diberi perhatian serius kerana harga besi yang kini mencecah RM4,000 setan mungkin meningkat melebihi RM5,000 setan menjelang September ini. Selain besi, stok penimbal simen juga akan diwujudkan bagi mengekang masalah kekurangan bekalan. 

Pada masa sama, Mohd Zin juga memberi amaran tegas melarang perbuatan menyorok stok barang binaan semata-mata untuk mengaut keuntungan mudah. 

Sebagai langkah membantu meringankan beban kontraktor, beliau memberi jaminan untuk mempertimbangkan supaya tuntutan mereka boleh dibayar dalam tempoh 14 hari, menangguhkan tindakan terhadap kelewatan menyiapkan projek serta memberi lanjutan masa selain mengadakan rundingan semula bagi projek dalam pembinaan dan yang akan dilaksanakan. 

Selain itu, cukai keuntungan durian runtuh juga mungkin diperkenalkan terhadap pengeluar besi keluli dan simen bagi memastikan mereka memenuhi keperluan bekalan dalam negara terlebih dulu sebelum mengeksport. 

Mohd Zin berkata, selain kenaikan harga besi sehingga 30 peratus, bahan binaan lain seperti bitumen meningkat 63 peratus, manakala harga tembaga kini mencecah AS$8,700 (RM29,580) setan berbanding AS$1,200 (RM4,080) setan tiga tahun lalu. 

Dalam kajian separuh penggal RMK-9 yang diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen minggu lalu, peruntukan pembangunan ditingkatkan daripada RM200 bilion kepada RM230 bilion selain RM20 bilion di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan RM9 bilion bagi projek Bina-Pajak-Tukarmilik (BLT). 

Statistik menunjukkan ada kira-kira 17,000 kontraktor kelas F yang aktif di seluruh negara dan baru-baru ini Kementerian Kerja Raya mengumumkan bahawa 10 peratus daripada projek melebihi RM10 juta di bawah kementerian itu akan diagihkan kepada kontraktor kelas F. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian