KUALA LUMPUR 21 Julai ? Kementerian Kerja Raya merancang memperkenalkan satu sistem yang akan membolehkan pemandu kenderaan melepasi plaza tol pada kelajuan maksimum 180 kilometer sejam.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, melalui sistem itu, bermakna pemandu kenderaan yang melalui sesuatu plaza tol tidak perlu berhenti atau memperlahankan kenderaan seperti kelaziman kini.
Beliau berkata, palang juga tidak akan diletakkan di plaza tol sekiranya sistem itu diperkenalkan.
Menurutnya, melalui sistem yang dinamakan laluan bebas pelbagai, jumlah kenderaan yang dapat melalui satu plaza tol adalah antara 1,800 hingga 2,000 buah sejam berbanding hanya 300 buah melalui plaza bayaran tunai dan 800 hingga 1,000 buah untuk Smart Tag.
"Ini akan mewujudkan aliran masuk lebih lancar di plaza tol," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Globalisasi Profesional Muda Malaysia - Perspektif Masa Depan di sini hari ini.
Tambah beliau, satu projek perintis bagi menguji keberkesanan sistem berkenaan akan diperkenalkan November ini di laluan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) di Plaza Tol Sungai Penchala.
Projek perintis itu, kata beliau, dirancang untuk dilaksanakan selama satu tahun melibatkan 100 buah kenderaan milik pengguna kerap laluan terbabit.
Kata beliau, teknologi yang berasal dari Jepun itu akan dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat dari negara berkenaan.