KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan akan mewujudkan stok penimbal bagi bahan binaan terutama simen dan keluli yang akan diuruskan oleh syarikat milik kerajaan (GLC).
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, GLC terbabit akan membeli bahan tersebut di luar negara dan seterusnya dijual pada harga yang munasabah kepada kontraktor yang terlibat membina projek kerajaan.
''Kerajaan terpaksa menyediakan stok penimbal memandangkan tekanan harga terhadap bahan binaan terutama simen dan keluli adalah tinggi sehingga ia meningkat sebanyak 30 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd. Zin berkata, tekanan harga yang terlalu tinggi itu menyebabkan syarikat binaan berhadapan tekanan dalam meneruskan projek.
Beliau berkata demikian kepada celahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak mewujudkan stok penimbal terlebih dahulu ketika menarik balik harga siling simen dan besi.
Mohd. Zin juga memberitahu, kerajaan tidak akan menilai semula semua projek RMK-9 sebaliknya akan melakukannya mengikut projek tertentu.
''Kerajaan hanya akan menilai kembali projek RMK-9 mengikut kes, kalau kementerian lihat projek itu tidak perlu dinilai, ia tidak akan dinilai terutama projek yang tidak melibatkan bahan binaan besi serta simen," katanya.
Menjawab celahan Datuk Yussof Mahal (BN-Labuan) sama ada kerajaan bercadang membina lebuh raya bertol di Sabah dan Sarawak kerana rakyat negeri itu bersedia membayar tol, beliau memberitahu, kerajaan tiada cadangan.
Beliau berkata, Lebuh Raya Pan Borneo yang dalam perancangan pembinaan bagi menghubungkan Sabah dan Sarawak juga tidak akan dikenakan tol.
''Kerajaan juga tidak bercadang untuk membina lebuh raya lain di Sabah dan Sarawak memandangkan jumlah trafik kenderaan di kedua-dua negeri adalah rendah," katanya.
Mengenai kajian menurunkan kadar tol di Semenanjung, Mohd. Zin berkata, kajian masih lagi dijalankan dan tempoh tiga bulan yang dijanjikan untuk membentangkan ke Parlimen belum sampai.
''Berilah masa kepada kementerian untuk menyiapkan kajian itu dengan teliti dan ahli-ahli Parlimen tidak patut memberi tekanan memandangkan tempoh kajian yang dijanjikan belum tamat,'' katanya.
Beliau juga memberitahu, pada masa ini hanya 1,200 kilometer lebuh raya dikenakan tol tetapi terdapat 15,000 kilometer jalan di seluruh negara masih tidak dikenakan tol.
''Lebuh raya bertol ini merupakan jalan alternatif dan terdapat Jalan Persekutuan yang tidak bertol boleh digunakan," katanya.