BALIK PULAU 7 Sept. ? Jalan Tun Sardon dari Relau menuju ke Balik Pulau terpaksa ditutup selama tiga hari sehingga Selasa ini kepada semua jenis kenderaan berikutan kerja-kerja pembaikan jalan akibat tanah runtuh dan pokok tumbang.
Jurucakap urus setia Bilik Gerakan Bencana Daerah Barat Daya berkata, kenderaan yang ingin menuju ke Balik Pulau boleh menggunakan Jalan Teluk Kumbar-Genting atau Jalan Balik Pulau-Telok Bahang.
"Namun kenderaan berat tidak digalakkan menggunakan laluan itu untuk sementara waktu.
"Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya diminta berhati-hati dan mamuthi papan tanda serta arahan anggota keselamatan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati laluan masuk ke Jalan Tun Sardon telah dikawal oleh beberapa anggota polis bagi mengelakkan orang ramai menggunakan jalan berkenaan.
Sepanjang laluan itu, terdapat kira-kira 10 kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang namun keadaan tidak serius kecuali di Kilometer 4.8 apabila berlaku mendapan dan keretakan pada jalan.
Turut ditemui di situ ialah pengarah Jabatan Kerja Raya(JKR) negeri, Shahawai Awang bersama kakitangannya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad yang kebetulan sedang melawat mangsa banjir di Pulau Betong telah singgah di kawaasn berkenaan untuk melihat tempat kejadian.
Menurutnya, jalan di kawasan itu telah mendap dan terdapat keretakan di sesetengah kawasan namum orang ramai boleh menggunakan jalan lama untuk ke Balik Pulau.
"Hujan lebat sejak petang semalam telah mengakibatkan tanah-tanah di cerun bukititu runtuk," katanya.
Muhamad Farid berkata, tindakan pantas JKR mengawai dan membersihkan kawasan berkenaan sebaik sahaja kejadian itu berlaku wajar dipuji.
"Kalau laluan ini boleh dibuka lebih awal, lagi baik namun apa yang penting ialah keselamatan orang ramai kerana dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini, lebih baik semua pihak berhati-hati," katanya.