Status keselamatan lima taman diketahui Jumaat | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Kerajaan teliti laporan JKR, pakar geologi, Ikram 

KUALA LUMPUR: Status keselamatan lima taman, iaitu Taman Bukit Mewah, Taman Bukit Utama, Taman Wangsa Ukay, Taman Bukit Jaya dan Kondominium Impian Selatan di Bukit Antarabangsa yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, akan ditentukan pada 19 Disember ini. 

Pada hari itu pihak berkuasa akan menentukan sama ada kediaman di kawasan berkenaan selamat untuk dihuni semula. 

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu akan dibuat selepas meneliti laporan Jabatan Kerja Raya (JKR), kajian pakar geologi dan siasatan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram). 

"Kesimpulan pada 19 Disember ini akan menentukan kawasan mana yang selamat dan siapa boleh pulang atau sebaliknya. Kita akan terangkan mengenai status penempatan mereka manakala dalam tempoh sebulan lagi kita akan umumkan tahap risiko semua kawasan persekitaran Bukit Antarabangsa. 

"Kalau kawasan tertentu, umpamanya rumah di kawasan Bukit Mewah ditakrifkan tidak selamat dihuni, kita putuskan apa rumusannya Jumaat depan tetapi kita tak boleh kata penduduk tak boleh tinggal di sana. 

"Sebaliknya, kita akan memaklumkan tahap risiko kepada mereka. Terpulang kepada mereka untuk memilih sama ada terus menetap di kawasan itu atau berpindah," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk kawasan perumahan yang terjejas akibat tanah runtuh Bukit Antarabangsa di sini, semalam. 

Dalam kejadian 6 Disember lalu itu, tragedi tanah runtuh meranapkan 14 banglo di Taman Bukit Mewah serta mengorbankan empat nyawa manakala seorang lagi masih hilang. 

Kajian awal JKR dan Ikram, Jumaat lalu mendapati kawasan tanah runtuh meliputi 14 unit rumah banglo seluas empat hektar itu tidak selamat untuk orang ramai termasuk pasukan mencari dan menyelamat (SAR). 

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor sudah mengharamkan pembinaan di kawasan di cerun Kelas 3 (16 hingga 35 darjah) dan Kelas 4 (ke atas 35 darjah), sejak April lalu tetapi tidak dapat menghalang pelaksanaan projek yang diluluskan kerajaan negeri terdahulu. 

Beliau mendedahkan antara 2000 hingga awal 2008, kerajaan negeri dulu meluluskan 92 projek di kawasan tanah tinggi. 

Ditanya sama ada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa akan menerima pampasan, beliau menegaskan apa yang ditawarkan kerajaan negeri adalah bagi membantu mangsa dan tiada pampasan dibincang. 

"Dalam perjumpaan dengan penduduk (semalam), kerajaan negeri sudah ambil maklum segala rintihan dan aduan mereka selain mendengar permintaan serta syor bagaimana kerajaan negeri boleh membantu mereka. 

"Isu pampasan tidak berbangkit kerana ini membabitkan undang-undang yang hanya boleh diputuskan Kerajaan Pusat kerana bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyediakan penempatan sementara, bekalan makanan, selain menawarkan potongan 50 peratus kepada mangsa tanah runtuh yang ingin menginap di Hotel De Palma miliknya di Ampang. 

Pada masa yang sama, katanya, satu laman web iaitu www.savebukitantarabangsa.com sudah dilancarkan bagi membantu mangsa untuk mengetahui perkembangan terkini. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian