Kajian tanah runtuh siap tiga bulan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR - Laporan lengkap mengenai runtuhan tanah yang menimpa sebuah banglo setingkat di Ulu Yam Perdana awal pagi kelmarin dijangka siap dalam tempoh tiga bulan, selepas siasatan forensik dijalankan.

Jurucakap Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika dihubungi Bernama semalam berkata, pihaknya sudah melawat tapak kejadian semalam untuk mendapat gambaran awal mengenai punca kejadian.

Beliau berkata, satu jawatankuasa yang diketuai cawangan kejuruteraan cerun juga telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu dan akan bermesyuarat hari ini.

"Jawatankuasa itu akan turut dianggotai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JKR negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Majlis  Daerah Hulu Selangor," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kejadian itu bukan di bawah tanggungjawab Kementerian kerja Raya, sebaliknya di bawah bidang kuasa pemaju perumahan berkenaan iaitu Shah Alam Property dan JKR cuma diarah membuat siasatan dan menyediakan laporan.

Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, mati tertimbus ketika sedang tidur dalam bilik mereka apabila tebing di belakang rumah berkenaan runtuh, lalu menghempap rumah itu yang dibina di atas bukit.

Ketika kejadian, ibu kedua-dua beradik itu, Azizan Madon, 42, bersama suaminya, Roslan Mohd Jalil, 49, dan tiga lagi anak mereka, Norlisa Azira, 8, Anis Afina, 6, dan Norman Afiq, 3, tidur di ruang tamu dan sempat menyelamatkan diri melalui bumbung rumah.

Sementara itu, Arkitek Majlis Daerah Hulu Selangor, Abd Wahab Abd Hamid berkata, infrastruktur keseluruhan di kawasan perumahan itu belum diluluskan pihak berkuasa tempatan(PBT)

Beliau bagaimanapun berkata, projek perumahan itu diluluskan untuk mendapat sijil layak menduduki (CF) pada 2001, manakala CF diserahkan pada 2003.

Menurutnya, jawatankuasa bencana di peringkat daerah yang diwujudkan bagi menyiasat kejadian itu turut bermesyuarat semalam.   

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia