KUALA TERENGGANU 11 Jan- Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) bernilai RM 3.7 bilion yang dijangka siap pada Mei 2011, akan memacu perkembangan ekonomi negeri Terengganu, kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.
Beliau berkata, projek itu yang dimulakan secara berperingkat mulai mac 2006 kini 41 peratus siap.
Menurut beliau, projek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM 8.1 bilion yang diberikan kerajaan Pusat untuk Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Selain memberi kemudahan jalan yang lebih selesa, lebuh raya ini antara lain akan dapat merancakkan ekonomi dan industri utama dan juga hiliran tempatan.
"Ia juga akan bertindak sebagai pemangkin kemajuan di negeri Terengganu seiring dengan Pembangunan Koridor Pantai Timur, serta meningkatkan taraf sosioekonomi, pembukaan bandar-bandar baru, pertumbuhan industri kecil dan sederhana dan mengembangkan industri pelancongan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata projek infrastruktur itu menggunakan kontraktor bumiputera menerusi tender terbuka dan turut menyediakan kira-kira 5,000 peluang perkerjaan.
Mohd Zin berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada akan mengenakan tol kerana masih mengkaji aliran trafik di lebuh raya itu.Katanya, sekiranya tol dikenakan, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna.
Menurutnya, kerajaan masih dalam pertimbangkan sama ada akan meneruskan projek berkenaan ke fasa ketiga.
"Perkara itu masih lagi dalam penelitian, kalau ada pun, ia mungkin dilakukan dalam Rancangan Malasysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.Bagaimanapun, katanya sekiranya tol dikenakan, kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membebankan pengguna.
Mohd Zin berkata, selain LPT 2, sebanyak 365 projek pembangunan telah dirancang untuk negeri Terengganu di bawah RMK-9 dengan 131 daripadanya masih diperingkat prapembinaan, 163 sedang dalam pembinaan dan 71 projek telah siap dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya.
"Bagi tempoh 2006 hingga tahun lalu, Terengganu telah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM 2.53 bilion, Daripada jumlah itu sebanyak RM 2.4 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek yang telah dirancang, manakala RM 2.4 bilion lagi akan diterima untuk tempoh dua tahun lagi dalam RMK-9," katanya.
Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa projek yang diumumkan itu adalah 'Projek pilihan raya' kerajaan di Terengganu kerana adanya Pilihan Raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan ini.
"Projek ini bukan projek yang dirancang semalamam. Ia telah dirancang sejak 2006, bagaimana pula boleh timbul kononnya in projek untuk pilihan raya.
"Tidak ada projek besar yang kita boleh rancang dan laksanakan semalam.
Dakwaan seperti itu tidak masuk akan dan merupakan tindakan terdesak pembangkang untuk meracuni fikiran rakyat," katanya.