LLM pantau belanja kutipan tol | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KERAJAAN sedang mengkaji kaedah memantau cara pemegang konsesi lebuh raya membelanjakan pendapatan daripada kutipan tol bagi memastikan mereka membuat peruntukan mencukupi untuk penyelenggaraan. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata kajian itu dijalankan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). 

Beliau berkata, apabila corak perbelanjaan syarikat berkenaan dapat dipantau, kerajaan boleh mengetahui sama ada pemegang konsesi lebuh raya itu memperuntukkan 25 peratus daripada kutipan tol bagi tujuan penyelenggaraan seperti disyaratkan. 

"Saya mahu melihat butiran terperinci cara pemegang konsesi lebuh raya ini membelanjakan pendapatan mereka. 

"Berapa peratus digunakan untuk membayar balik pinjaman, berapa peratus bagi kos penyelenggaraan serta operasi dan berapa pula lebihan keuntungan yang boleh boleh diberikan semula kepada rakyat," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan fasa pertama Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) membabitkan laluan dari Persimpangan Duta ke Jalan Kuching dan Persimpangan Greenwood ke Persimpangan Hillview di Plaza Tol Ayer Panas, Kuala Lumpur, semalam. 

Mohd Zin berkata, pelaksanaan langkah itu juga dijangka dapat membantu kerajaan membuat perkiraan lebih tepat dalam menetapkan kadar tol supaya hak dan kepentingan semua pihak berkaitan dengan sesuatu lebuh raya itu terpelihara. 

"Kita bukan saja mahu memelihara kepentingan pemegang saham dalam sesebuah lebuh raya itu tetapi ingin memastikan hak rakyat sebagai pengguna lebuh raya dijaga," katanya. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim; Pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar; Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Razali Othman dan Pengarah Urusan Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn Bhd (Kesturi), Datuk Haris Hussein. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian