SUBANG JAYA: Kaedah dan aktiviti 'tip-fill', iaitu menimbus tanah dari kawasan lain ke cerun bukit bagi memadatkan kawasan itu, perlu dihentikan segera bagi mengelak kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Highlands Towers dan Bukit Antarabangsa berulang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata kajian terhadap beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di Hulu Klang mendapati penggunaan kaedah itu dilakukan ke atas pembangunan cerun bukit.
Menurutnya, Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) boleh memainkan peranan memastikan kontraktor yang berdaftar dengannya tidak melanggar spesifikasi pemadatan tanah serta tidak menggunakan kaedah ?tip-fill slope? untuk memadatkan tanah di cerun bukit.
"Di JKR (Jabatan Kerja Raya), Cawangan Kejuruteraan Cerun diwujudkan bagi mengurus dan mengawal masalah tanah runtuh. Cawangan cerun JKR kini mengambil langkah pemeriksaan ke atas tip-fill slope sedia ada, sistem penahan cerun, cerun berbatu dan perkara yang berkaitan untuk keselamatan awam.
"Sehingga kini semua permohonan pembangunan dikemukakan pemaju perlu melalui 13 jabatan, termasuk Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) dan JKR," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Cerun yang ditubuhkan jawatankuasa kabinet berkata, pembangunan di cerun bukit lebih selamat melalui perancangan, reka bentuk kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan yang sempurna dan teliti.
Mohd Zin berkata demikian ketika merasmikan seminar mengenai pembangunan selamat di cerun bukit, di sini, semalam. Kira-kira 450 peserta daripada pelbagai sektor dan profesion menyertai seminar itu.
Seminar itu bertitik tolak daripada tiga kejadian tanah runtuh di cerun bukit di negara ini penghujung tahun lalu, bermula dengan tanah runtuh di Ulu Yam yang mengakibatkan kematian dua beradik manakala banglo diduduki ranap.
Selepas itu, tembok penahan cerun di kawasan meletak kereta Bangunan CIMB di Jalan Semantan runtuh, mengakibatkan enam kereta tertimbus manakala lima kenderaan mengalami kerosakan.
Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember lalu pula tragedi terbesar apabila 14 banglo musnah, lima meninggal dunia, lebih 90 penduduk cedera, 1,000 rumah diisytihar tidak selamat manakala lebih 5,000 penduduk diarah mengosongkan rumah sehingga kawasan itu disahkan benar-benar selamat diduduki.
Menurut Mohd Zin, untuk memastikan tiada risiko kejadian tanah runtuh, tindakan menghenti dan membekukan semua kerja pembinaan di kawasan berbukit adalah pilihan yang ada.
Bagaimanapun, langkah itu tidak praktikal dilaksanakan memandangkan keperluan guna tanah yang bertambah seiring dengan pertambahan populasi penduduk di negara ini.
?Pemaju perlu memberi lebih perhatian kepada kerja pembangunan yang dilakukan di cerun bukit dan menyedari risiko yang mungkin berlaku akibat pembinaan struktur di kawasan berbukit.
?Malah, kos kerja pembangunan di lereng bukit jauh lebih tinggi berbanding pembangunan di tanah rata. Pemaju harus melantik pakar teknikal dan kontraktor cekap, berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam kerja pembinaan di cerun bukit,? katanya.
Sementara itu, penduduk Bukit Antarabangsa, Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman, yang hadir ke seminar itu kesal kerana kerajaan belum mengumumkan laporan keselamatan di kawasan berkenaan berdasarkan laporan kajian geoteknikal yang dikemukakan oleh JKR dan Ikram.
Menurutnya, laporan itu penting bagi membolehkan penduduk mengetahui kedudukan mereka, sama ada masih boleh menetap di kawasan itu atau berpindah.
Menjawab pertanyaan itu, Mohd Zin berkata, laporan berkenaan hampir siap dan akan dikemukakan kepada kabinet, Jumaat ini.