Tol Salak Jaya dimansuhkan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Kutipan tol untuk kedua-dua arah di Plaza Tol Salak Jaya, Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) di sini dimansuhkan bermula 12.01 tengah hari ini, sekali gus meringankan beban kira-kira 50,000 pengguna terutama penduduk berhampiran.

Ini ialah pemansuhan kedua dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat bulan ini selepas memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2 Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) berhampiran Kampung Dato' Harun pada 13 Februari lalu.

Pengumuman pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Salak Jaya itu dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed pada satu majlis di plaza tol berkenaan hari ini.

Beliau berkata, pemansuhan tol itu sepatutnya berkuat kuasa 1 Mac depan, bagaimanapun Besraya (M) Sdn. Bhd. bersetuju memansuhkan kutipan tol empat hari lebih awal.

"Pemansuhan kutipan tol ini akan bermula sejurus selepas ini (selepas majlis) walaupun secara rasmi ia sepatutnya bermula 1 Mac depan... persetujuan empat hari lebih awal itu atas ehsan Besraya.

"Kira-kira 50,000 pengguna lebuh raya termasuk penduduk Pekan Sungai Besi, Kampung Malaysia, Kuchai Lama, Taman Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan akan menikmati jalan tanpa tol dari Jalan Istana ke pekan Sungai Besi," katanya.

Jelas beliau, kedudukan plaza tol berkenaan yang tidak strategik memaksa pergerakan trafik tertumpu di kawasan Kuchai Lama dan Pekan Salak Selatan kerana pengguna lebuh raya lebih suka memilih jalan bebas tol sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di kawasan tersebut.

Katanya, lokasi plaza tol itu juga memisahkan dua kawasan yang berhampiran iaitu Taman Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan.

"Walaupun matlamat asal pembinaan Besraya ialah untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku di sepanjang Jalan Sungai Besi Lama dan melancarkan trafik dari selatan Kuala Lumpur ke pusat bandar dan sebaliknya, tetapi keadaan sebaliknya telah terjadi apabila kawasan penempatan sekitarnya menjadi sesak.

"Keputusan menutup plaza tol berkenaan dapat meringankan bebanan pengguna Besraya terutama penduduk di kawasan berhampiran yang perlu membayar tol sehala sebanyak RM1.30 sejak Mei 1999," katanya.

Sementara itu, Mohd. Zin berkata, kerajaan akan melaksanakan pembinaan lebuh raya sambungan Besraya dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Jalan Istana dan arah selatan sepanjang 12 kilometer berharga kira-kira RM650 juta bagi mengurangkan kesesakan di selatan Kuala Lumpur.\

Lebuh raya itu, ujarnya, dijangka siap pada 2012 akan membolehkan pengguna mengelak daripada menggunakan jalan sedia ada yang sesak.

Katanya, projek itu akan diberikan kepada syarikat Besraya sebagai kerja tambahan dan pembinaan akan dilaksanakan secara tender yang diuruskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Kutipan tol akan dikenakan di Plaza Tol Loke Yew dan Mohd. Zin menjangkakan kadarnya lebih murah daripada RM1.30 berikutan jarak lebuh raya berkenaan yang pendek.

Katanya, akan terdapat sebanyak 10 persimpangan bertingkat di lebuh raya baru itu, yang bermakna pengguna mempunyai alternatif untuk keluar menggunakan jalan lama tanpa perlu membayar tol.

Menurut beliau, antara faedah lebuh raya sambungan itu ialah ia dapat mengurangkan kesesakan di MRR 1 (Jalan Tun Razak) dan MRR 2 yang pada masa ini telah melebihi kapasiti.

"Ia juga sebagai laluan alternatif semasa kesesakan bagi trafik yang menghala dari timur Kuala Lumpur ke selatan Kuala Lumpur atau sebaliknya. 

"Malah, ia juga boleh menjadi jalan pintas ke selatan tanpa perlu melalui Jalan Tun Razak," kata Mohd. Zin.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia