RM70j baiki Bukit Antarabangsa | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Bukit Antarabangsa runtuh 6 Disember lalu akibat perbuatan manusia.

Itulah kesimpulan pakar-pakar dari Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membuat kajian mengenai punca tragedi itu.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, rumusan itu berdasarkan gambar- gambar satelit dari tahun 1968 sehingga berlaku tragedi itu.

Ia menunjukkan bahawa cerun asal di kawasan berkenaan telah diubah menerusi kerja mengorek dan mengambus.

Jelas beliau, kajian juga mendapati cerun di kawasan itu menjadi semakin berbahaya seleps bermulanya pembangunan di kawasan perumahan Taman Bukit Mewah antara 1975 dan 1985. 

Kerajaan, menurut Mohd. Zin prihatin dengan masalah yang dihadapi penduduk kawasan itu, telah meluluskan peruntukan RM70 juta untuk melaksanakan kerja-kerja memperkukuhkan kawasan tanah runtuh itu yang dijadual bermula minggu depan. 

''Sebenarnya tanggungjawab memulihkan kawasan tanah runtuh itu adalah tanggungjawab pemaju atau pemilik yang gagal mematuhi spesifikasi pembangunan cerun bukit dan pihak berkuasa tempatan iaitu Perbandaran Ampang Jaya dan kerajaan negeri Selangor,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung status terkini kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa di sini hari ini. 

Bagaimanapun, menurut Mohd. Zin, kerajaan sedar bahawa untuk pihak terbabit bertindak, pastinya mengambil masa yang lama.

Sehubungan itu, katanya, Kabinet telah meluluskan peruntukan tersebut supaya langkah segera dapat diambil untuk memperkukuhkan kawasan sekitar Bukit Antarabangsa.

"Kelulusan itu membolehkan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan kawasan tersebut dilakukan dengan segera," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Zin berkata, kementerian akan melantik kontraktor-kontraktor yang berwibawa untuk menjalankan kerja-kerja pemulihan itu. 

Beliau berkata, tujuh langkah kerja pembaikan akan dilakukan iaitu Hand Dug Caisson dan Tie Back di Jalan Wangsa 11, Micropile, Soil Nail dan Tie Bak (Jalan Wangsa 9), Hand Dug Caisson, Tie Back dan Earthwork (kawasan runtuhan).

Selain itu, tambahnya, di Taman Bukit Mewah dan Jalan Bukit Antarabangsa kerja-kerja baik pulih jalan dan sistem perparitan akan dilakukan selain kerja-kerja Horizontal Drain di Taman Bukit Jaya dan Soil Nail and Wire Mesh (Kondominium Kyoto Gardens). 

Dalam pada itu, menurutnya, kerja-kerja membaik pulih tanah itu turut melibatkan 44 kediaman iaitu 13 unit rumah di Taman Mewah, lapan unit di Taman Bukit Jaya dan kondo yang mempunyai 23 unit kediaman di sepanjang jalan Wangsa 9.

Katanya, kesemua 44 kediaman itu bagaimanapun masih belum boleh diduduki pada masa ini berikutan kawasan tanah runtuh di sekitar rumah terbabit perlu dibaiki dalam tempoh enam bulan.

"Setakat ini, kementerian hanya memberi kelulusan kepada 212 daripada 256 rumah yang diberi notis berbahaya untuk diduduki selepas kajian keselamatan pada 19 Disember lepas diisytiharkan selamat," katanya. 

Mohd. Zin memberitahu, kementerian akan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan termasuk pemilik tanah dan pihak yang memberi kelulusan melaksanakan projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kementerian akan mengambil tindakan serta membuat tuntutan semula untuk segala perbelanjaan pembaikan dan pengukuhan yang dilakukan di kawasan itu.

"Langkah ini bagi memastikan mereka menanggung beban dan kewangan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membaik pulih kawasan itu ekoran kesilapan mereka," katanya. 

Dalam kejadian pukul 3.50 pagi 6 Disember lalu, lima terkorban, manakala 14 lagi cedera apabila 14 banglo di Taman Bukit Mewah ranap ditimbus runtuhan tanah dari bukit yang terletak kira-kira 20 meter dari situ.

Berikutan itu, kira-kira 3,000 penduduk daripada beberapa kawasan perumahan yang berisiko tanah runtuh telah diarah mengosongkan kediaman masing-masing atas tujuan keselamatan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia