KUALA LUMPUR 25 Feb. - Penduduk sekitar Plaza Tol Salak Jaya Lebuh raya Sungai Besi (Besraya) dan pengguna lebuh raya itu gembira dengan keputusan kerajaan memansuhkan kutipan di plaza tol itu bermula semalam.
Seorang pemborong bekalan runcit, Kamal Pascha, 35, yang ditemui berkata, penutupan tol itu telah lama ditunggu-tunggu oleh seluruh penduduk sekitar kerana ia membebankan mereka.
"Kutipan RM1.30 untuk melalui lebuh raya ini tidak berpatutan kerana destinasi yang hendak ditujui sangat dekat contohnya ke Kampung Malaysia atau The Mines.
"Oleh itu, saya menyokong sepenuhnya usaha kerajaan memansuhkan kutipan tol kerana ia boleh meringankan beban semua pihak," katanya.
Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed mengumumkan pemansuhan kutipan di plaza tol tersebut yang memberi manfaat kepada 50,000 pengguna lebuh raya itu.
Ini termasuk penduduk pekan Sungai Besi, Kampung Malaysia, Kuchai Lama, Taman Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan yang akan menikmati jalan tanpa tol dari Jalan Istana ke pekan Sungai Besi.
Menurut Zin, kedudukan plaza tol berkenaan yang tidak strategik memaksa pergerakan trafik tertumpu di kawasan Kuchai Lama dan Pekan Salak Selatan kerana pengguna lebuh raya lebih suka memilih jalan bebas tol.
Pembantu kedai, R. Prakash, 20, pula berpendapat, langkah kerajaan itu mampu mengelakkan kesesakan jalan raya di sekitar kawasan kediaman di Salak Selatan.
"Kebanyakan kereta tidak melalui plaza tol itu kerana ada beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui.
"Kebanyakan jalan alternatif ini melalui kawasan kediaman dan ia menimbulkan kesesakan terutama sekali waktu puncak," katanya.
Suri rumah, Chan Kon Yong, 43, pula memberitahu, dia terpaksa melalui jalan di sekitar kediaman di Salak Selatan bagi mengelakkan tol.
"Tetapi sekarang saya tidak lagi perlu berbuat demikian kerana kutipan tol itu telah dimansuhkan.
"Malah boleh berjimat untuk membayar di tol di untuk ke destinasi seterusnya seperti ke Kajang," katanya.
Sementara itu, pemilik kedai runcit, A. Selvi, 47 berkata, tol itu tidak patut diwujudkan sejak awal lagi kerana kedudukannya yang tidak strategik.
"Penduduk berhampiran jarang menggunakan tol terbabit kerana merasakan tidak berbaloi untuk membayarnya menyebabkan mereka menggunakan jalan lain untuk ke destinasi berdekatan," katanya.
Dia yakin pemansuhan kutipan tol itu tidak menjejaskan kewangan Besraya kerana tidak banyak kenderaan yang melalui plaza tol itu.