Awas! Laluan maut Sg. Buaya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

BATANG KALI 7 Jun - Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, dekat sini, terletak jauh di luar bandar. Kira-kira satu jam perjalanan jika berkenderaan dari Kuala Lumpur, tetapi ia bukan bermakna masyarakatnya dapat hidup bebas daripada sebarang masalah dan hiruk pikuk yang menjadi asam garam hidup di kota.

Benar, pergerakan kehidupan penduduk di situ juga tidak sepantas warga kota, kos kehidupan juga jauh lebih rendah, tetapi ada satu masalah yang membimbangkan masyarakat di situ iaitu kemalangan jalan raya.

Utusan Malaysia difahamkan, kemalangan kerap berlaku di jalan utama dari simpang Sungai Buaya ke Bukit Sentosa, tambahan pula laluan di situ adalah pilihan utama kepada penduduk sekitar untuk ke Kuala Lumpur melalui Rawang, bagi mengelakkan tol.

Difahamkan, jalan utama ini sudah banyak meragut nyawa terutama pada waktu malam. Bukan seorang dua tetapi lebih lima nyawa dalam tempoh tiga bulan.

Akibatnya, ada yang memberi jolokan 'laluan maut' dengan kebanyakan kes kemalangan berlaku pada waktu malam.

Semua ini gara-gara ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan sepanjang kira-kira tiga kilometer itu.

Mangsa kebanyakannya terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal yang baru sahaja pulang daripada bekerja shift malam di kilang-kilang berhampiran.

Difahamkan paling banyak menjadi mangsa adalah para pekerja Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) dan Tan Chong yang menempatkan kilang dan ibu pejabatnya di Sungai Choh. 

Lebih memilukan mangsa adalah anak-anak muda yang baru sahaja datang dari kampung mencari rezeki di sini.

Kini kebimbangan mereka semakin memuncak berikutan kemalangan lebih kerap berlaku di kawasan berkenaan, terutama pada waktu puncak memandangkan hari demi hari jumlah pengguna yang melalui jalan berkenaan meningkat. 

Utusan Malaysia difahamkan, peningkatan kenderaan menggunakan jalan tersebut banyak dipengaruhi jumlah penduduk yang semakin meningkat berikutan beberapa projek pembangunan sedang dimajukan di kawasan berhampiran.

Selain kilang, pembukaan Gudang Tesco di Bukit Beruntung juga mempengaruhi peningkatan jumlah penduduk.

Penduduk, terutama pengguna jalan tersebut mendakwa pernah membuat aduan serta permohonan kepada pihak Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati keadaan jalan yang berselekoh juga memaksa pengguna menanggung risiko ditimpa kemalangan dan kerosakan pada kenderaan setiap kali melalui jalan itu terutama pada waktu malam.

Selain di kiri dan kanannya adalah hutan tebal, jalan satu lorong sehala itu juga didapati agak sempit dan mendedahkan pengguna kepada kecelakaan. 

Batu penanda bahu jalan didakwa tidak banyak membantu.

Sementara itu, MDHS ketika memberi maklum balas terhadap aduan berkenaan mengakui pihak majlis telah menerima banyak permohonan lampu jalan di jalan utama dari simpang Sungai Buaya ke Bukit Sentosa.

Menurut Penolong Pengawai Penerangannya, Junainah Abdullah, berdasarkan siasatan, penyediaan lampu jalan di laluan itu adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ia melibatkan jalan utama.

"Pihak MDHS sendiri sedia maklum dengan aduan dan rungutan penduduk dan telah pun merujukkan perkara ini kepada JKR. 

"Buat masa ini aduan tersebut masih dalam tindakan JKR," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, penduduk diminta agar dapat terus berhubung dengan pihak MDHS atau JKR sekiranya terdapat sebarang kesulitan bagi memastikan keselesaan penduduk.
 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia