JKR perkenal peraturan baru bagi kontraktor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KEMENTERIAN Kerja Raya menetapkan beberapa peraturan baru bagi memastikan kontraktor mematuhi semua butiran projek dipersetujui dalam perjanjian bagi mengelak kelewatan atau kegagalan mematuhi spesifikasi. 

Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata antara kaedah ditetapkan termasuk mewajibkan kontraktor serta pegawai pelaksana seperti jurutera ditemu ramah pegawai kementerian sebelum kontrak dilulus dan dimeterai. Kaedah itu, katanya, bertujuan memastikan pegawai berkenaan bertanggungjawab terhadap projek itu dan terbabit dalam pelaksanaannya.

"Pegawai kementerian secara berkala akan mengadakan lawatan ke tapak projek bagi memastikan pegawai berkenaan terbabit dalam pelaksanaan projek. Bukan hanya menunjukkan nama saja, selepas itu mereka tiada. Inilah peraturan baru yang ditetapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Hasni Mohamad (BN-Pontian) yang mahu tahu langkah kementerian membendung kontraktor mengubah spesifikasi atau pelaksanaan hingga menyebabkan banyak projek lewat siap.

Samy Vellu berkata, JKR mempunyai mekanisme pemantau setiap kontrak dimeterai bagi membolehkannya mengambil tindakan termasuk menghantar notis apabila mengesan pelaksanaannya melangkaui masa ditetapkan dalam perjanjian. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian