JKR kenal pasti 400 jambatan kritikal | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti sebanyak 400 jambatan yang berada pada tahap kritikal di negara ini melalui Program Pemeriksaan Mandatori Tahunan Jambatan (PMTJ) 2006. 

Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pada tahun ini sebanyak RM15 juta disediakan bagi tujuan penyelenggaraan jambatan.

Menurut beliau, sehingga Julai lalu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan untuk tujuan kerja pembaikan struktur jambatan, kerja pengukuhan dan penggantian komponen struktur yang rosak.

"Berdasarkan rekod JKR, di negara ini terdapat 7,133 jambatan termasuk pembetung di laluan persekutuan Semenanjung Malaysia, Sabah (1,727) dan Sarawak (1,564).

"Jumlah jambatan kategori pembetung ialah sebanyak 7,922 manakala jambatan jenis struktur (2,502)," katanya ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Mohd. Zin, pemeriksaan mandatori ke atas jambatan dan pembetung dibuat pada setiap tahun.

Laluan

"Skop pemeriksaan jambatan turut diperluaskan kepada pemeriksaan bagi jejambat serta jejantas yang melintasi laluan persekutuan.

"JKR Negeri telah diarah mengemukakan laporan lengkap pemeriksaan jambatan, pembetung, jejambat dan jejantas beserta gambar kerosakan, punca kerosakan, tindakan dan pemantauan kepada Ibu Pejabat JKR," katanya.

Tambahnya, JKR juga menjalankan program pemeriksaan keselamatan jambatan secara bulanan terhadap komponen struktur dan elemen fasiliti jambatan yang mengalami kerosakan atau kegagalan fungsinya pada tahap bermasalah atau kritikal.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia