Formula baru syarat konsesi tol dirangka | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merumus formula konsesi tol baru yang akan memberi faedah dan manfaat yang sama rata kepada pengguna, syarikat konsesi, kerajaan serta institusi kewangan yang membiayai pembinaan sesuatu lebuh raya. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata keputusan itu dibuat bagi mengatasi kekurangan dan kelemahan perjanjian konsesi sedia ada dengan mengambil kita pandangan semua pihak terbabit. 

"Meskipun kaedah yang digunakan sekarang sudah boleh dikatakan agak baik, syarat perjanjian konsesi baru yang sedang dirumus ini akan menambah baik dasar penswastaan yang diguna pakai sebelum ini. 

"Walaupun hampir semua pembinaan lebuh raya tempatan diswastakan, kerajaan bertanggungjawab mengambil langkah perlu bagi mengurangkan implikasi sosial dengan menyediakan laluan alternatif tanpa tol dan memberi subsidi tol bagi mengurangkan beban pengguna. 

"Justeru, menjadi dasar kerajaan untuk mengkaji semula setiap perjanjian konsesi dari semasa ke semasa bagi memastikan penswastaan lebuh raya ini mencapai matlamat sebenar,"katanya ketika dihubungi di Paris, Perancis semalam. 

Beliau mengetuai delegasi 16 anggota bagi menghadiri Kongres Jalan Sedunia selama lima hari di negara itu. 

Beliau berkata, setakat ini kerajaan sudah menswastakan projek pembinaan lebuh raya bernilai lebih RM30.8 bilion. 

Tegasnya lagi, menjadi tanggungjawab kerajaan dan syarikat konsesi untuk bermuafakat bagi mencapai rumusan terbaik yang menguntungkan semua pihak, terutama pengguna. 

Samy Vellu berpendapat, walaupun negara terbabit dalam projek penswastaan selama 25 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari dari segi manfaat kepada pengguna selain implikasi kewangan dan ekonomi. 

Katanya, tinjauan pendapat umum akan dijadikan syarat utama sebelum melaksanakan penswastaan pembinaan lebuh raya, termasuk mengenal pasti keperluan berasaskan permintaan penduduk setempat. 

Selain itu, kesan aliran trafik dan tindakan mengemas kini terma serta syarat perjanjian konsesi akan diberi pertimbangan utama sebelum menandatangani sebarang perjanjian konsesi pada masa akan datang. 

Kata Samy Vellu, dalam tempoh dua tahun lagi, lebih 2,000 kilometer lebuh raya bertol akan disiapkan pembinaannya di seluruh negara.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian