IPOH: Sepasukan pegawai dan anggota daripada bahagian Kejuruteraan Forensik Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya akan memulakan siasatan mereka hari ini berhubung kejadian runtuhan bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Pulau Banding, Gerik, Selasa lalu.
Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar, berkata pasukan itu dengan dibantu pegawai dan anggota BPR Perak akan mengadakan siasatan di tapak runtuhan hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian.
Beliau berkata, pasukan itu yang dianggotai pakar teknikal akan mengumpul sampel fizikal seperti cebisan runtuhan untuk dibandingkan dengan spesifikasi yang digariskan dalam perjanjian pembinaan projek bernilai RM4.5 juta itu.
"Kedua-dua pasukan daripada BPR Putrajaya dan BPR Perak akan turut bekerjasama mengenal pasti sama ada terdapat penyelewengan ketika kontrak ditawarkan bagi membina bangunan terbabit.
"Kami sudah mengenal pasti juruperunding serta kontraktor yang terbabit dalam projek berkenaan, tetapi masih terlalu awal untuk dinyatakan sama ada mereka akan dipanggil bagi memberi kenyataan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Samsiah berkata, BPR juga diberi tempoh sebulan bagi menyediakan laporan lengkap siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian Selasa lalu, bangunan PTNP itu yang fasa pertama siap pada 2004 mulai runtuh pada jam 8 pagi dan ranap sepenuhnya pada jam 10 pagi, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana bangunan itu belum diduduki.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching, berkata beliau akan menghadiri mesyuarat dengan beberapa jurutera dan pakar daripada jabatan itu di Kuala Lumpur hari ini, sebelum menentukan siapa yang bakal menganggotai panel jawatankuasa bebas bagi menyiasat kejadian itu.
Beliau yang dihubungi di sini, semalam berkata, jawatankuasa itu akan menyiasat dan meneliti semua aspek berkaitan termasuk reka bentuk, spesifikasi serta kesesuaian tanah dan laporan mengenainya dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan komen juruperunding terbabit dalam projek berkenaan, Design Dimension Architect's (DDA) di pejabatnya di sini, gagal apabila juruperundingnya, Sazali M Salleh sedang menghadiri mesyuarat.
Seorang kakitangan DDA yang menghubungi Sazali berkata, beliau meminta media berhubung Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan maklumat lanjut kerana projek itu yang sudah diserahkan kepada kerajaan negeri.
Berita Harian difahamkan DDA adalah juruperunding utama dan ia melantik tiga lagi syarikat dalam pasukannya iaitu Syarikat City Perunding Sdn Bhd, Syarikat KH Zam Engineers Sdn Bhd dan Syarikat JB Consult.
Sementara, konkraktor Kelas B, Syarikat Ribu Laksana (M) Sdn Bhd dilantik pada 30 Ogos 2004 sebagai kontaktor utama bagi pembinaan projek berkenaan yang dijadualkan siap pada Ogos 2005.
Namun, projek berkenaan hanya dapat disiapkan pada Mac 2006 sebelum diserahkan kepada PTNM pada Jun 2006.