TAIPING: Kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar melakukan semakan bagaimana kawasan hutan Bukit Berapit setinggi 30 meter yang runtuh pagi semalam, dibenarkan diteroka memandangkan ia dikenal pasti sebagai kawasan tadahan hujan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan punca runtuhan itu disebabkan penerokaan di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan struktur tanahnya terganggu.
"Saya melihat di kawasan sekitar tanah Bukit Berapit berkenaan ditanam dengan kelapa sawit dan juga buah-buahan, bermakna ada penerokaan di hutan bukit berkenaan.
"Oleh itu saya mahu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar melakukan semakan sama ada berlaku penerokaan haram atau penerokaan yang diluluskan.
"Walaupun penerokaan itu diluluskan, kenapa ia boleh berlaku kerana hutan Bukit Berapit adalah kawasan tadahan," katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan kejadian tengah hari semalam.
Kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Gantang-Kuala Kangsar itu berlaku kira-kira jam 10.19 pagi semalam sehingga menutup keseluruhan lebih 50 meter di Kilometer 64 Jalan Ipoh-Butterworth dan sebahagian laluan arah selatan Lebuhr raya Utara-Selatan sepanjang kira-kira empat meter di Kilometer 231.6.
Turut sama dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur Perak, Datuk Ho Cheng Wang; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Salmah Mat Jusak; Pengarah Jabatan Kerjaraya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching; Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Datuk Mohd Gazali Jalal dan Ketua Polis Kuala Kangsar, Superintendan Zakaria Pagan.
Tajol Rosli berkata, jika penerokaan tanah terbabit dikenal pasti dibuat secara haram maka tindakan penguatkuasaan perlu diambil dan jika penerokaan itu diluluskan, kerajaan negeri ingin mengetahui kenapa ia dibenarkan.
"Bagi mengelakkan kejadian seperti inilah, kerajaan tidak boleh meluluskan permohonan tanah bagi kawasan tertentu untuk orang ramai.
"Dalam kejadian ini kita bernasib baik tiada kemalangan jiwa dan hanya sebuah lori membawa pasir yang kebetulan melalui jalan berkenaan tertimbus sebahagian besarnya dengan tanah runtuhan manakala pemandunya hanya cedera ringan di kaki," katanya.
Tajol Rosli berkata, JKR, Plus Expressway Sdn Bhd (PLUS) serta pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dengan kerjasama beberapa agensi lain melakukan pembersihan kawasan terbabit dengan laluan di Kilometer 46 Jalan Ipoh-Butterworth dan laluan arah Selatan PLUS di kilometer 231.6 ditutup sehingga kerja berkenaan selesai.
"Jalan Ipoh-Butterworth di Kilometer 64 ditutup bagi semua jenis kenderaan dan hanya akan dibuka esok (hari ini) dengan pemantauan berterusan oleh JKR.
"Ia dilakukan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya kerana sekarang musim hujan dan kemungkinan berlaku semula runtuhan tanah di kawasan sekitar bukit berkenaan tidak dapat dipastikan," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan tambang feri antara Lumut dan Pulau Pangkor naik susulan kenaikan tambang feri ke Pulau Langkawi, Tajol Rosli berkata setakat ini tidak ada permohonan pihak berkaitan untuk berbuat demikian.
Katanya, kerajaan negeri berharap pengusaha feri Lumut-Pulau Pangkor tidak mengambil tindakan sama kerana ia hanya akan membebankan orang ramai terutama penduduk di situ dan pelancong.