KERAJAAN membayar pampasan RM222.4 juta berikutan keputusannya untuk menamatkan pakej pembinaan jambatan bengkok berbanding kos asal bagi pakej jambatan bengkok dan jambatan kereta api sebanyak RM1.113 bilion.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata bagi membolehkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) beroperasi, kerajaan memutuskan untuk menghubungkan tambak Johor ke kompleks itu dengan sebuah jambatan sementara membabitkan kos RM190.7 juta.
"Projek Gerbang Selatan Bersepadu asalnya mempunyai dua pakej iaitu KIK dan pakej Jambatan Bengkok serta Jambatan Kereta Api.
"Tarikh milik tapak bagi kedua-dua pakej ialah pada 1 Januari 2003, tetapi atas keputusan kerajaan, kontrak bagi Jambatan Bengkok ditamatkan pada 12 April 2006," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) mengenai jumlah perbelanjaan yang perlu dibuat jika jambatan bengkok diteruskan dan kos yang ditanggung kerana membatalkan projek itu.
Menjawab soalan tambahan Salahuddin kenapa keputusan membina dan membatalkan projek itu dibuat seperti `main-main' sedangkan ia membabitkan begitu banyak wang rakyat, Samy Vellu yang jelas kelihatan berang dengan kenyataan itu berkata, sebarang keputusan adalah diputuskan Kabinet bukan keputusan peribadi menteri.
Katanya, pampasan yang dibayar kerana ia membabitkan pelbagai kos tertentu yang ditanggung kontraktor terutama tempoh 24 bulan mereka berada di tapak projek termasuk kos membayar gaji pekerja.
Projek jambatan bengkok dibatalkan, katanya, sesudah mengambil kira beberapa paip besar ke Singapura yang perlu dipindahkan, yang mana tempoh untuk memindahkan setiap paip memakan masa dua tahun dan jika ada paip pecah ganti rugi perlu dibayar kepada negara jiran itu.
Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giew (DAP-Kepong) mengenai pembaziran yang perlu ditanggung untuk merobohkan jambatan sementara bernilai RM190.7 juta jika pada masa depan ada rancangan membina jambatan ketiga, Samy Vellu berkata, jika ada projek jambatan tetap hendak dibina pada masa depan, bahagian yang akan dirobohkan hanya 165 meter sementara bahagian lain akan terus digunakan.