IPOH 11 Dis. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu yakin kemalangan yang sering berlaku di Plaza Tol Jelapang akan dapat diatasi dalam tempoh enam bulan lagi apabila plaza tol baru bagi menggantikan plaza tol sedia ada, disiapkan.
Beliau berkata, pembinaan plaza tol baru bernilai RM260 juta yang terletak kira-kira satu kilometer ke arah selatan dari tapak lama sedang giat dijalankan.
"Bagi mengatasi masalah kemalangan yang kerap berlaku di Plaza Tol Jelapang, kerajaan mengambil keputusan memindahkannya ke lokasi baru iaitu kira-kira satu kilometer dari tapak sekarang.
"Plaza tol lama akan dirobohkan manakala plaza tol baru dijangka boleh digunakan dalam masa enam bulan lagi," katanya semasa melawat lokasi kemalangan maut membabitkan sebuah bas persiaran dengan lori tangki membawa muatan susu getah di Plaza Tol Jelapang di sini hari ini.
Samy Vellu yang tiba di tempat kejadian pada pukul 11 pagi dari Kuala Lumpur dengan menaiki sebuah helikopter, meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk meninjau kawasan kejadian sambil mendengar penerangan dari Ketua Pegawai Operasi PLUS Expressway Bhd. (PLUS), Nik Airini Nik Jaafar.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.
Dalam kemalangan pukul 4.09 pagi ini, tujuh orang maut manakala 28 yang lain cedera termasuk empat parah apabila bas persiaran yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori tangki membawa muatan susu getah di Plaza Tol Jelapang.
Menurut Samy Vellu, kemalangan hari ini yang membabitkan jumlah kematian tertinggi adalah yang terburuk pernah dilaporkan berlaku di plaza tol di negara ini.
"Sebelum ini, memang pernah berlaku kemalangan maut di plaza tol tetapi jumlah mangsa tidak ramai iaitu satu kematian pada tahun 2003, diikuti tiga kematian pada 2004," katanya.
Beliau memberitahu, insiden kemalangan itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara itu, semasa melawat mangsa di Hospital Ipoh, Samy Vellu mengumumkan, PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan masing-masing sebanyak RM1,000 seorang untuk meringankan beban keluarga setiap mangsa.
Turut menghulurkan sumbangan ialah Tajol Rosli yang akan memberi RM1,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan RM500 kepada mangsa yang cedera.
Dalam pada itu, Samy Vellu menggesa syarikat bas supaya memastikan pemandu benar-benar sihat dan segar semasa membawa kenderaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
"Kemalangan hari ini dipercayai berpunca akibat pemandu bas memandu laju dalam keadaan mengantuk. Saya yakin dia tidak cukup tidur dan mungkin hanya sempat melelapkan mata sekitar dua jam sebelum bertugas semula mengejar trip.
"Bas ini pula bertolak selepas pukul 11 malam dan biasalah, sebagai manusia, kita merasa letih jika tidak mendapat rehat yang mencukupi," katanya.
Beliau turut meminta Kementerian Pengangkutan supaya memastikan hanya pemandu mempunyai lesen dan berpengalaman sepuluh tahun dibenarkan memandu bas.