KUALA LUMPUR: Plaza Tol Jelapang yang menjadi lokasi paling banyak berlaku kemalangan maut di kalangan semua plaza tol bawah senggaraan Plus Expressway Berhad (Plus) akan dirobohkan selewat-lewatnya Julai tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar, berkata pembinaan jajaran baru dan plaza tol menggantikan Plaza Tol Jelapang bermula sejak Mei 2005 membabitkan pembinaan dua jalan baru bebas tol sepanjang 14.7 kilometer pada setiap hala.
'Plus membelanjakan RM2.4 juta hanya bagi menyediakan beberapa ciri keselamatan yang canggih bagi memastikan laluan terbabit lebih selamat digunakan. Setakat ini, 60 peratus kerja pembinaan sudah siap.
'Plaza tol baru akan dibina kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol Jelapang yang akan dirobohkan dan laluan sampingan sepanjang 14.7 kilometer setiap hala untuk kegunaan penduduk tempatan tanpa perlu bayar tol.
"Kita mengubah kedudukan Plaza Tol Jelapang dan Plaza Tol Ipoh (selatan) bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan tanpa henti dari Pulau Pinang-Kuala Lumpur, katanya dalam sesi taklimat khusus untuk akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Balai Berita semalam.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail; Pengarang Berita, Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Ketua Pengarang Berita New Straits Times (NST), KP Waran.
Plus diwakili Pengurus Besar Perhubungan Korporat dan Jabatan Pemasaran Plus, Khalilah Mohd Talha serta Pengarah Projek Lorong Ketiga Plus, Zakaria Ahmad Zabidi.
Plaza Tol Jelapang di Kilometer 266.3 meragut 12 nyawa selain mengakibatkan 74 cedera parah sejak 2003, termasuk kejadian terbaru 11 Disember lalu yang menyebabkan lapan maut. Statistik Plus menunjukkan 87 daripada 142 kemalangan di lokasi itu berlaku kerana brek gagal berfungsi.
Kerja merobohkan plaza tol sedia ada, pembinaan plaza tol dan jajaran jalan serta bangunan penyeliaan dianggar menelan belanja RM280 juta. Kos turut merangkumi pembinaan perangkap pasir bagi memudahkan kenderaan mengalami masalah brek, berhenti.
Laluan perangkap pasir sepanjang 72 meter itu berupaya mengurangkan kelajuan kenderaan yang mengalami masalah brek serta dilengkapi wayar besi dan penghadang konkrit bagi mengelakkan kenderaan merempuh plaza tol.
Dalam perkembangan berkaitan, pada sidang media Ops Sikap XV 2007 di Bukit Aman di sini, Ketua Trafik Pasukan, Datuk Hamza Taib mengesyorkan penggunaan perangkap pasir pada bahagian tertentu jalan curam diperluaskan ke beberapa lokasi berisiko di seluruh negara.