ENTONG: Orang ramai yang menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) untuk ke ibu negara dan Kuantan, nyaris terperangkap apabila laluan di Kilometer 84, Karak, dekat sini, ditenggelami air sedalam hampir satu meter, malam kelmarin, sekali gus memutuskan hubungan Kuala Lumpur (KL) ke Kuantan melalui LPT.
Berikutan kejadian pertama kali berlaku sejak LPT dibuka pada 2004, laluan di kedua-dua hala terpaksa ditutup sementara mulai jam 9.30 malam kelmarin, menyebabkan Kuala Lumpur-Kuantan hanya dihubungi menerusi laluan alternatif melalui Felda Lakum dan Bukit Damar, Lanchang.
Bagaimanapun, sebahagian jalan yang ditutup itu dibuka semula apabila syarikat konsesi LPT, MTD Prime Sdn Bhd (MTD Prime) menyediakan laluan kontra satu lorong sebagai langkah berjaga-jaga mulai jam 3 petang semalam.
Trafik dari Kuala Lumpur menghala Karak (arah timur) masih dilencongkan ke jalan Sertik Mempaga atau Bukit Damar dan masuk semula ke LPT di Plaza Tol Lanchang.
Sementara itu, penutupan sementara laluan berkenaan menimbulkan kesukaran kepada orang ramai dari Kuantan dan ibu negara berikutan laluan alternatif di pekan Lanchang turut ditutup selepas ditenggelami air hampir dua meter.
Bagaimanapun, MTD Prime mula membuka semula laluan itu pada jam 3 petang dengan menyediakan laluan kontra arah barat (Kuala Lumpur) di Kilometer 83.9 hingga Kilometer 86.3. Hanya satu lorong dibuka sebagai langkah berjaga-jaga berikutan keadaan banjir masih belum pulih sepenuhnya.
Ketika laluan di kawasan itu ditutup, MTD Prime membuka laluan alternatif di Kampung Cinta Manis, Karak melalui Felda Lakum dan Felda Bukit Damar sebelum memasuki semula lebuh raya itu di Plaza Tol Lanchang.
Jurucakap syarikat itu ketika dihubungi semalam berkata, lokasi terjejas teruk ialah di Kilometer 84.6 hingga 84.7 apabila paras air naik sehingga 0.5 meter di laluan Kuala Lumpur dan satu meter di laluan Kuantan.
Menurut jurucakap itu, pihaknya melalui unit peronda melakukan pemantauan 24 jam di sepanjang lebuh raya berkenaan terutama di lokasi yang sudah dikenal pasti diancam banjir iaitu antara Karak dan Temerloh.
"Lokasi ditenggelami air di Kilometer 84 sudah dibuka semula satu hala sebagai laluan kontra dua arah kira-kira jam 3 petang selepas air mulai surut, manakala laluan ke Kuantan masih ditenggelami air.
"Banjir di lebuh raya ini sukar dijangka kerana bergantung kepada cuaca, namun unit peronda sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuat lencongan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas," katanya.
Menurutnya, perkembangan terkini keadaan banjir di lebuh raya itu akan dimaklumkan melalui radio, Ibu Pejabat Polis Daerah, panel paparan digital lebuh raya dan notis pemberitahuan di setiap plaza tol.
Sehingga jam 8 malam tadi, laluan yang terjejas itu boleh dilalui semua kenderaan dari kedua-dua hala, namun pemandu diarah bergerak perlahan kerana hanya dua lorong digunakan.
selain permukaan jalan masih licin.
Ketika laluan itu ditutup sehingga laluan kontra dibuka, tiada kemalangan dilaporkan berlaku dan tiada pemandu terkandas, namun pengguna merungut kerana terpaksa menggunakan laluan alternatif ke Kuantan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan banjir di lebuh raya itu boleh menghubungi talian `hotline' MTD Prime di 09-5479111.