Projek Jambatan Tambak Johor-CIQ bakal dimuktamad | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

MUAR 26 Dis. - Kerajaan dalam proses memuktamadkan projek membina jambatan berkonsep baru menghubungkan Tambak Johor dengan Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, bernilai kira-kira RM285 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kertas kerja mengenai pembinaan jambatan tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum diluluskan untuk memilih kontraktor yang layak membina jambatan tersebut mengikut kos ditawarkan.

Menurut beliau, proses itu akan mengambil masa selama 18 bulan dan ketika ini, sebuah jalan sementara yang bernilai RM30 juta akan dibina bagi memudahkan penduduk kedua-dua negara berulang alik.

"Kontrak baru untuk pembinaan jambatan tersebut kini dalam peringkat akhir perbincangan.

"Pihak kontraktor sebelum ini telah meminta bayaran sebanyak RM345 juta untuk kos pembinaan jambatan itu, namun hasil perbincangan antara kerajaan dengan kontraktor terbabit, harganya telah diturunkan kepada RM285 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan wajah baru kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh arah selatan PLUS Expressways Berhad (PLUS) dekat sini hari ini.

Kompleks CIQ baru Gerbang Bersepadu di Bukit Cagar yang kini sudah siap dibina, dilaporkan bakal dilengkapi dengan jejambat baru yang merupakan laluan tetap menghubungkannya dengan Tambak Johor.

Pembinaan jambatan yang bersambung dengan CIQ itu dijangka mampu melancarkan laluan dan perjalanan kenderaan berat dan ringan di pusat bandar raya Johor Bahru.

Samy Vellu berkata, pembinaan jambatan sementara itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dari sekarang bagi memudahkan penduduk Singapura atau Johor menggunakannya sebagai laluan keluar masuk.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia