Skuad khas siasat 'laluan maut' Lebuh Raya Timur-Barat ditubuh | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

MUAR 26 Dis. -Kerajaan menubuhkan skuad penyiasat bagi mengenal pasti kerosakan dan segera membaiki jalan di Lebuh Raya Timur Barat dari Gerik, Perak ke Tanah Merah, Kelantan yang menjadi ?laluan maut?.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, skuad penyiasat itu terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) turut diarahkan supaya segera membaiki laluan tersebut.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius laporan Utusan Malaysia hari ini tentang laluan berbahaya di lebuh raya terbabit yang dikatakan turut menjadi penyumbang kepada kemalangan maut yang kerap berlaku, termasuk mengorbankan enam sekeluarga pada Ahad lalu.

"Saya terbaca laporan dalam Utusan Malaysia hari ini mengenai keadaan bahaya di Lebuh Raya Timur Barat itu dan saya serta-merta telah mengarahkan agar sebuah pasukan dihantar untuk menyiasat dan seterusnya melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

"Skuad penyiasat ini ditubuhkan untuk mengenal pasti laluan berbahaya di lebuh raya itu dan saya meminta apabila melihat mana-mana laluan yang mungkin akan rosak dalam tempoh satu atau dua bulan supaya segera dibaiki dan jangan tunggu sehingga ia rosak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan wajah baru Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh arah selatan anjuran PLUS Expressways Berhad (PLUS) dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim; Pengerusi LLM, Datuk Ali Bahari dan Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Mohd. Razali Othman.

Samy Vellu mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai Lebuh Raya Timur-Barat dari Gerik ke Tanah Merah yang mendapat jolokan 'laluan maut' dan berbahaya kerana terdapat banyak lubang di laluan itu sehingga menjejaskan pemanduan dan mengakibatkan tayar pancit.

Fenomena itu dikatakan turut menyumbang atau dikaitkan dengan kemalangan maut yang kerap berlaku di laluan tersebut, termasuk yang terbaru mengorbankan enam sekeluarga maut Ahad lalu.

Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh di lebuh raya itu pada tahun ini sahaja termasuk tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kelantan yang terbabit kemalangan antara sebuah dan lori di Kilometer 14.4, pada 5 Disember lalu.

Menurut Samy Vellu, Ketua Pengarah LLM juga telah diarahkan supaya menyediakan satu laporan terperinci mengenai keadaan laluan di lebuh raya di negara ini.

"Arahan itu telah dikeluarkan dua minggu lalu, dan siasatan itu perlu menjurus kepada beberapa permasalahan yang dikatakan timbul, antaranya mengenai reka bentuk, keadaan jalan tidak rata, pembinaan struktur jalan di kawasan-kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia