RM4 juta turap lubang lebuh raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

IPOH 26 Dis. - Jabatan Kerja Raya (JKR) mengeluarkan peruntukan segera sebanyak RM4 juta bagi membaiki lubang-lubang di laluan Lebuh Raya Timur-Barat antara Gerik ke Tasik Banding bagi mencegah kemalangan jalan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ho Cheng Wang berkata, kerja-kerja menampal semua kerosakan di laluan tersebut akan bermula Jumaat ini.

Katanya, JKR akan memohon peruntukan tambahan bagi menampal lubang-lubang jalan antara Banding ke sempadan Perak/Kelantan setelah kerja-kerja menampal jalan dari Gerik ke Tasik Banding siap.

"Kita berterima kasih kepada Utusan Malaysia yang mengetengahkan isu ini dan hari ini kita mendapat peruntukan daripada JKR Persekutuan untuk membaiki lubang-lubang yang terdapat di laluan itu.

"Walaupun kemalangan negeri itu bukan disebabkan lubang-lubang tetapi kita mengambil tindakan segera memperbaiki kerosakan itu sebagai langkah pencegahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKR Perak di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Lebuh Raya Timur Barat dari Gerik ke Jeli yang mendapat jolokan ?laluan maut? kerana mengorbankan banyak nyawa sememangnya berbahaya kerana terdapat banyak lubang di laluan berkenaan sehingga menjejaskan pemanduan dan mengakibatkan tayar kenderaan pancit.

Fenomena itu dikatakan turut menyumbang atau dikaitkan dengan kemalangan maut yang kerap berlaku di laluan tersebut. 

Yang terbaru ialah kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga maut malam kelmarin, menjadikan sekurang-kurangnya 24 nyawa melayang di lebuh raya itu pada tahun ini sahaja.

Kejadian itu berlaku hanya 19 hari selepas tiga anggota Rela Kelantan termasuk seorang berpangkat penolong pengarah terbunuh manakala dua lagi cedera parah apabila van mereka bertembung sebuah lori di Kilometer 14.4 lebuh raya berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati laluan sepanjang kira-kira 221 kilometer sehingga ke Kota Bharu, Kelantan itu tersebut bukan sahaja berliku dan sempit tetapi yang lebih membimbangkan adalah banyaknya lubang di sepanjang laluan tersebut.

Katanya, tindakan membaiki lubang-lubang itu dilakukan oleh kontraktor JKR, Belati Wangsa Sdn. Bhd. (BWSB).

Cheng Wang menegaskan, kemalangan ngeri yang meragut enam mangsa di laluan tersebut Isnin lalu bukan disebabkan oleh keadaan jalan yang berlubang.

Katanya, mengikut polis, kemalangan tersebut berpunca kenderaan yang dipandu laju dan terbabas ke kanan jalan dan bertembung dengan lori treler dari arah Kelantan.

"Jalan di tempat kejadian adalah baik dan tidak timbul punca kemalangan itu disebabkan kenderaan cuba mengelak jalan berlubang," ujarnya.

Ketua Trafik Daerah Gerik, Cif Inspektor Zamzuri Nawawi ketika dihubungi semalam memberitahu, siasatan polis mendapati kemalangan yang mengorbankan enam sekeluarga malam kelmarin bukan disebabkan jalan berlubang tetapi kerana kenderaan dipandu laju.

Beliau berkata, walaupun terdapat banyak lubang di lebuh raya berkenaan tetapi keadaan jalan di kawasan kemalangan adalah baik dan baru diturap.

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia