Beribu-ribu terkandas | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Jalan runtuh Gua Musang-Jeli jejas perjalanan ke Kota Bharu

GUA MUSANG: Ribuan pengguna dari beberapa jajahan di negeri ini terkandas terutama yang dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidiladha apabila Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 45 dekat Bukit Meranto di sini, runtuh pagi semalam. 

Jalan terbabit menjadi laluan alternatif dari Gua Musang ke Kota Bharu, selepas jalan utama, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan di Kilometer 55 dan Kilometer 65, sejak seminggu lalu. 

Berikutan penutupan kedua-dua jalan terbabit, pengguna dari Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Machang, Tumpat dan Kuala Krai yang ingin ke utara, selatan atau Kuala Lumpur dinasihatkan menggunakan Lebuh Raya Timur-Barat atau Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, apabila jalan di Kilometer 45, Jalan Gua Musang-Jeli, sepanjang 50 meter runtuh secara tiba-tiba. 

Beliau berkata, runtuhan laluan itu menyebabkan jalan terbabit terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan. 

"Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kerana ketika runtuhan, tiada kenderaan di laluan berkenaan. 

"Bagaimanapun, beribu pengguna yang dalam perjalanan dari Gua Musang-Jeli dan Jeli-Gua Musang, terpaksa berpatah balik sebaik tiba di tempat kejadian. 

"Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa mengambil masa untuk membaiki jalan terbabit kerana runtuhan yang berlaku terlalu besar," katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, kejadian itu berlaku berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. 

Minggu lalu, Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang menjadi laluan utama warga kota pulang ke kampung mereka di Kelantan terputus berikutan berlaku mendapan sehingga membentuk lubang besar di Kilometer 55 dan Kilometer 65. 

Kejadian itu menyebabkan jalan terbabit terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan. Jalan Gua Musang-Jeli yang dijadikan laluan alternatif turut mengalami mendapan di Kilometer 36.5 tetapi masih boleh digunakan apabila satu lorong dibuka kepada kenderaan ringan. 

Ahmad Termizi berkata, semua pengguna jalan raya dari utara, tengah dan selatan yang ingin ke Kota Bharu dinasihatkan menggunakan Lebuhraya Timur-Barat menerusi Grik manakala dari selatan, Pahang dan Terengganu boleh menggunakan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu. 

"Polis sudah meletakkan papan pandu arah yang menasihatkan pengguna yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menerusi Jeli dan Gua Musang, meneruskan perjalanan ke Grik dan Ipoh atau berpatah balik mengambil laluan ke Terengganu," katanya. 

Beliau berkata, setakat ini perkhidmatan kereta api berjalan seperti biasa. 

Sementara itu, perkhidmatan bas ekspres dari Kuala Lumpur yang menggunakan Jalan Gua Musang-Kota Bharu terpaksa mengubah jadual perjalanan masing-masing berikutan kejadian tanah runtuh itu. 

Kebanyakan syarikat bas ekspres terbabit menggunakan Lebuhraya Timur-Barat dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu yang mengambil masa perjalanan antara sembilan hingga 11 jam dari Kuala Lumpur, berbanding Jalan Gua Musang-Kota Bharu, antara tujuh dan lapan jam. 

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali, berkata dianggarkan lebih 1,000 penumpang terkandas bagi perjalanan satu hala Kuala Lumpur yang menggunakan Jalan Gua Musang. 

"Ini berdasarkan kepada jumlah perjalanan yang mencapai sebanyak 35 setiap hari yang membawa seramai kira-kira 35 hingga 40 penumpang dalam setiap perjalanan. 

"Mungkin ada bas ekspres terpaksa berpatah balik jika kita gagal mendapatkan laluan alternatif yang selamat. Buat masa ini kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan laluan terbabit," katanya. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian