UNGAI SIPUT 21 Dis. -Laporan lengkap mengenai bangunan pentadbiran dua tingkat milik Perbadanan, Taman Negeri Perak (PTNP) di Tasik Banding, Gerik, yang runtuh pada 13 November lalu akan diketahui dalam masa tiga bulan lagi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, Jabatan Kerja Raya(JKR) yang diarahkan menyiasat kejadian itu memerlukan 90 hari lagi untuk melengkapkan hasil siasatan.
"JKR tidak boleh bagi reaksi terhadap hasil siasatan ini sebab kita sedang menjalankan beberapa kajian termasuk dalam aspek kimia dan sama ada penggunaan bahan binaan seperti besi menepati piawaian.
"Siap sahaja laporan itu, kita akan serahkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.
"Sekarang baru lebih sebulan kejadian itu berlaku dan kita memerlukan 90 hari untuk melengkapkan siasatan,"katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada penganut Kristian yang akan menyambut perayaan Krismas di Dewan Tun Sambanthan di sini, hari ini. Samy Vellu diminta mengulas kenyataan Tajol Rosli dalam akhbar kelmarin yang menyebut laporan awal mendapati kejadian bangunan runtuh itu berpunca daripada strukturnya yang lemah.
Menurut Menteri Kerja Raya itu, pihaknya sudah mengumpul beberapa maklumat yang diperlukan untuk melengkapkan laporan termasuk siasatan terhadap asas bangunan, pelan-pelan yang digunakan oleh kontraktor serta bahan binaan bagi memastikan ia menepati piawaian.
Dalam pada itu, Samy Vellu kesal kerana masih ramai kontraktor di negara ini enggan menyediakan khidmat penyelia kerja untuk memantau kerja-kerja pembinaan bangunan.
"Kontraktor ini enggan melantik penyelia kerja yang bertanggungjawab memantau kerja-kerja di tapak binaan kerana takut mengeluarkan kos tambahan untuk membayar gaji mereka yang berjumlah kira-kira RM3,000 sebulan.
"Mana yang lebih merugikan... mengeluarkan kos tambahan sebanyak RM40,000 untuk membayar gaji penyelia kerja atau terpaksa membelanjakan sejumlah wang bagi membina semula bangunan yang runtuh,"katanya.