Nahas laluan Gurun-Sik inkuiri pertama JKJR | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PUTRAJAYA: Buat kali pertama dalam sejarah siasatan kemalangan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengadakan inkuiri menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian dan pelanggaran prosedur keselamatan tempat kerja oleh kontraktor kerja menaik taraf laluan Gurun-Sik, Kedah sehingga menyebabkan kemalangan maut pada 8 Januari lalu. 

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata jawatankuasa inkuari yang diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah ditubuhkan dan akan memanggil ketua eksekutif serta pengurusan kanan syarikat terbabit dalam tempoh terdekat untuk memberi keterangan. 

Suret berkata, inkuiri akan menentukan sama ada berlaku perlanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 dan Garis Panduan Teknik dan Keselamatan JKR yang wajib dipatuhi kontraktor. 

Pada sidang media khas di pejabatnya di sini semalam, beliau berkata, ini adalah julung kali pihaknya memanggil CEO dan pengurusan kanan kontraktor yang terbabit kerja menaik taraf jalan raya bagi melihat sama ada mereka mematuhi peraturan, keperluan keselamatan dan garis panduan teknikal yang ditetapkan kerajaan. 

"Kita akan menyenarai hitam kontraktor yang didapati melanggar akta dan garis panduan berkenaan," katanya 

Jawatankuasa inkuiri turut dianggotai JKJR, Miros, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis

Dalam kejadian jam 3.45 petang 8 Januari lalu, dua sahabat terbunuh, manakala empat yang lain cedera apabila sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung dekat Kampung Jentayu, Jalan Gurun-Jeniang berhampiran Gurun. 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian