Projek jambatan ketiga di Klang siap dua setengah tahun | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KLANG : Projek pembinaan jambatan ketiga melintasi Sungai Klang sepanjang 3.8 km di sini yang melibatkan kos RM 23. juta dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua setengah tahun, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, kerja pembinaan kemudahan jalan raya dan jambatan untuk projek berkenaan akan dimulakan dalam tempoh empat bulan ini.

"Saya percaya dalam tempoh  empat bulan ini bolehlah kita mula projek ini.Reka bentuk  untuk projek semuanya sudah selesai dan tawaran akan dipanggil secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran projek jambatan tersebut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo di sini, semalam.

Samy Vellu berkata, pelaksanaan projek itu yang merupakan sebahagian daripada  Jalan Lingkaran Bandar Klang bertujuan mengurangkan kesesakan di kedua-dua jambatan sedia ada iaitu Jambatan Kota dan  Jambatan Musaedin.

"Panjang keseluruhan projek ini ialah 3.8 km meliputi pembinaan jalan baru sepanjang dua km, jambatan baru 0.5 km dan penaiktarafan jalan sedia ada 1.3 km," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian telah mengenal pasti dan memperakukan satu jalan penghubung di Bandar Klang yang merupakan sebahagian daripada jalan lingkaran di sana.

"Cadangan jalan baru ini yang merentasi Jalan Meru hingga ke Jalan Sungai Udang mengandungi empat persimpangan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Samy Vellu berkata, projek itu merangkumi pembinaan jalan dan jambatan yang akan  menjadi satu lagi laluan alternatif bagi penduduk sekitar Bandar Klang.

"Pelaksanaan projek ini kelak akan dapat merangsangkan lagi pertumbuhan kawasan-kawasan perindustrian dan pembangunan sekitar Bandar Klang, disamping meningkatkan  taraf sosio-ekonomi penduduk sekitar," katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga merancang membina jambatan keempat yang akan memudahkan pengguna menggunakan Lebuhraya Pantai Barat untut terus ke Bandar Klang dan sebaliknya mereka dari  Bandar Klang boleh pergi ke Banting dengan lebih mudah.   

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian