Abdul Munit dilantik KSU baru | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR, 25 Jan. - Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Kerja Raya Datuk Dr. Abdul Munit Kasmin dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu mulai 27 Januari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Syed Jamal Syed Jaafar yang bersara wajib pada tarikh tersebut.

Mohd. Sidek berkata Abdul Munit, 55, yang memulakan karier dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 9 Oktober 1976, berpengalaman luas dalam bidang pembangunan dan pengurusan ekonomi di peringkat persekutuan dan negeri.

Sebelum dilantik Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya pada 1 Jun 2006, beliau memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selain pernah menjadi Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor dan Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Pahang.

Mohd. Sidek turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Puan Sri Zaiton Mhad Ali sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Kerja Raya mulai 2 Februari ini.

Zaiton, 53, yang berpengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia, menggantikan Datuk Asiah Marzuki yang bersara wajib pada tarikh itu.

Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Lamien Sawiyo pula dilantik menggantikan Zaiton sebagai Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, juga mulai 2 Februari.

Lamien, 52, yang menyertai PTD pada 5 Januari 1981, berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pentadbiran awam.

Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, JPA, Datin Madinah Mohamad, 51, menggantikan Lamien, juga mulai 2 Februari.

Tempat Madinah pula diambil alih oleh Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Kerja Raya, Amir Abdul Hamid, 53, mulai tarikh yang sama.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sabah Md. Yahaya Basimin dilantik Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (Pembangunan), mulai Isnin ini.

Md. Yahaya, 52, yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran sosial, pengurusan kewangan dan sumber manusia, menggantikan Datuk Abu Hasan Shaari yang telah bersara wajib pada 19 Januari.

Mohd. Sidek turut mengumumkan pelantikan Umi Kalthom Mohd. Din, Pengarah Bahagian Keutuhan Pengurusan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri, sebagai Timbalan Ketua Pengarah II, Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri mulai 1 Februari.

Umi Kalthom, 54, yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, menggantikan Suriyaty Muslim yang dilantik sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mulai tarikh yang sama.

 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia