PULAU PINANG 23 Jan. - Kerja-kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang menghubungkan Batu Kawan dan Batu Maung di sini akan dimulakan sepenuhnya selepas cuti Tahun Baru Cina, bulan depan.
Ketua Pasukan Khas Jambatan Kedua Pulau Pinang, Tan Sri Zaini Omar berkata, perkembangan projek itu ketika ini juga mengatasi jadual asal dan yakin ia akan dapat disiapkan sebagaimana dirancang pada tahun 2010.
Menurut beliau, kebanyakan kerja persediaan dan asas bagi pembinaan jambatan itu juga telah pun selesai mengikut jadual yang ditetapkan.
"Kerja-kerja asas seperti penyelidikan tanah, kajian topografi, kajian dasar air, ujian cerucuk telah selesai dibuat dan tiada masalah yang timbul.
"Bagaimanapun, kerja sebenar secara keseluruhan berkaitan projek akan kita laksanakan sepenuhnya selepas pekerja kembali daripada bercuti Tahun Baru Cina, bulan depan," katanya.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan projek itu di Hotel Equatorial di sini hari ini.
Tambah beliau, keputusan bagi menetapkan reka bentuk jambatan kedua itu juga akan diketahui pada Jumaat ini selepas perbincangan dilakukan antara Unit Perancangan Ekonomi (EPU), UEM Builders dan China Engineering.
''Reka bentuk jambatan itu masih mempunyai persamaan dengan konsep Jambatan Kedua Pulau Pinang yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Namun, kita tidak dapat elak, bila ramai orang yang terlibat banyak pendapat dan cadangan yang diutarakan. Kita harap Jumaat ini, reka bentuk sebenar dapat kita ketahui ," katanya.
Jambatan sepanjang 24 kilometer itu yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai Selatan dan Batu Maung di kawasan Barat Daya Pulau Pinang membabitkan kos sebanyak RM3 bilion.
Sebanyak 68 hektar tanah telah dibersihkan untuk dijadikan jajaran jambatan tersebut sementara tiang yang dibina mampu menghadapi bencana alam seperti gempa bumi atau tsunami pada kekuatan tujuh pada skala Richter.
Jambatan tersebut dijangka dapat menampung sebanyak 88,880 buah kenderaan sehari apabila siap nanti.
Pembinaan jambatan ini melibatkan pembiayaan dari Exim Bank of China, Bank Pembangunan Malaysia dan kerajaan. Perjanjian pembiayaan telah ditandatangani pada 13 Julai tahun lepas di Putrajaya.
Dalam pada itu, Zaini mengakui kos pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang asalnya dijangka sekitar RM2.8 bilion dijangka meningkat sehingga RM4 bilion berikutan kenaikan harga bahan binaan di dunia ketika ini.
Tambahnya, kos asal itu juga berdasarkan penilaian yang dibuat beberapa tahun lepas dan ia dijangka lebih tinggi jika dinilai mengikut keadaan harga bahan mentah semasa.
Selepas sidang akhbar tersebut, Zaini kemudiannya dibawa meninjau kerja-kerja menyiapkan loji bahan binaan berhampiran tapak projek Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Kawan, dekat sini.
Dalam lawatan kira-kira setengah jam itu, Zaini turut diberi taklimat oleh beberapa pegawai UEM Builders mengenai perkembangan kerja-kerja tanah di kawasan itu.