Terowong SMART ditutup, jalan di ibu kota sesak | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR - Hujan lebat yang turun sejak tengah hari semalam menyebabkan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) ditutup sekali lagi kepada lalu lintas bagi membolehkan operasi sistem banjir dijalan kan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd., terowong itu ditutup sejak pukul 3 petang dan menyebabkan kesekan lalu lintas yang teruk sekitar ibu kota.

"Pihak SMART memohon agar pengguna lalu lintas bersabar dan memberi kerjasama. Sebarang maklumat terkini akan diumumkan kepada media dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu semalam.

Syarikat itu berkata, pembukaan semula terowong SMART akan dilakukan setelah mendapat  kebenaran pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), memandangkan ribut petir dijangka terus melanda ibu kota sehingga lewat petang.

Pengguna lalu lintas boleh menghubungi talian bantuan 1-300.88-7188 untuk maklumat lanjut berkenaan penutupan terowong tersebut.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa jalan utama di sekitar ibu negara mengalami kesesakan teruk, termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Sungai Besi, Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Sentul, Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Sambanthan.

Beberapa buah kedai di Jalan Thambosamy dan Jalan Kampar, dekat Sentul turut digenangi air kira-kira 0.5 meter, dan ini menyebabkan beberapa buah kereta yang diletakkan di parkir berhampiran mengalami kerosakan.  

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo