Aktiviti tarah bukit punca banjir | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Meru - Aktaiviti penarahan bukit secara tidak terkawal dan sistem perparitan dan saliran yang tidak sempurna dikenal pasti sebagai salah satu punca utama masalah bajir kilat yang sering berlaku di kawasan kariah Jaya Setia, Kampung Bukit Kampar di sini dan beberapa kawasan  berhampiran.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Meru, Dr. Abdul Rani Osman selepas beliau membuat lawatan di kawasan berkenaaan bersama pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Klang, Jabatan Perparitan dan Salran (JPS) Klang dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kelmarin.

Selepas beberapa turutan  kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan itu baru-baru ini, Abdul Rani yang bersimpati dengan nasib para penduduk di kawasan tersebut berjanji akan cuba membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan merujukkan perkara berkenaan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Pada lawatan tersebut, Abdul Rani menyertai para pegawai dari ketiga-tiga jabatan tersebut bersama beberapa penduduk untuk melihat sendiri keadaan di beberapa kawasan yang bermasalah dan dipercayai menjadi punca kepada masalah banjir kilat.

Mereka yang turut sertai pada lawatan itu ialah Jurutera Daerah JKR, Ir. Ihsan Atan bersama Pembantu Teknikal Kanan JKR, Chia Soang Kee, dan Pengarah Kejuruteraan di Jabatan Kejuruteraan MPK, Ir. Mohd Noor Mahmud.

Turut sama Pegawai Pemantau dari Jabatan Alam Sekitar MPK, Nordin Dahlan dan Juruteknik bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan JPS, Azroei Tasrip.

Mereka dibawa melihat keadaan beberapa kawasan parit yang bermasalah antaranya masalah tebing parit runtuh dan tersumpat serta ke kawasan penarahan bukit yang mana kerja-kerja tanah di situ dipercayai beroperasi secara haram sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, masalah penarahan bukit itu akan dirujukkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang bagi memastikan sama ada operasi kerja-kerja tanah dan penarahan bukit di kawasan tersebut mendapat permit atau sebaliknya.

"Kita berharap mendapat kerjasama dari pihak Pejabat Tanah untuk mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja tanah di kawasan berkenaan dan mengetahui status sebenar operasinya samada ia mendapat kebenaran atau tidak.

"Kita juga akan cuba mendapatkan kerjasama dari pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuat pemerikasan kekawasan tersebut dan memeriksa  lori-lori tanah yang digunakan," katanya lagi.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa masalah banjir kilat ini memang agak rumit dan akan memakan seditit masa kerana semua pihak tidak kira JKR, JPS, MPK dan Pejabat Tanah perlu berbincang terlebih dahulu untuk mencari satu kaedah penyelesaian yang terbaik.

"Tapi untuk sementara waktu pihak JPS dan MPK akan melakuka  kerja-kerja penyelenggaraan dan mendalamkan parit dalam masa yang terdekat, dan pada masa yang sama JKR pula akan membaiki jalan-jalan yang rosak akibat dari banjir kilat yang lepas, katanya lagi.

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian