MPkj bincang atasi isu jalan Bandar Mahkota Cheras | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KAJANG- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan mengadakan mesyuarat dengan pihak Grand Saga Sdn. Bhd dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) minggu depan untuk membincang dan mencari jalan penyelesaian mengenai isu  pembukaan jalan di Bandar Mahkota Cheras.

Yang Dipertuannya, Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman berkata, MPKj telah pun berbincang dengan kedua-dua pihak berkenaan baru-baru ini, dan perbincangan yang lebih mendalam akan diadakan dalam pertemuan ini.

Ditanya mengenai pembukaan lorong tambahan pada waktu pagi dan petang bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan perumahan itu, beliau berkata, langkah itu tidak dapat dilakukan kerana bahaya dan boleh menyebabkan berlaku kemalangan.

Menurut Hassan Nawawi, pendekatan yang dilakukan seperti menempatkan anggota polis trafik di kawasan berkenaan lebih relevan dan efektif serta selamat bagi mengatasi masalah kesesakan.

Menjawab soalan mengenai banjir di beberapa kawasan sekitar Hulu Langat pada Sabtu dan Ahad lalu, beliau menyifatkan sebagai kejadian hujan luar biasa.

"Biasanya kadar hujan ialah 60mm, tetapi pada hari itu jumlah hujan ialah 135mm." katanya.

Katanya, MPKj kini dalam proses menaikkan taraf  Sungai Jelok yang kini sudah 15 peratus siap pembinaanya  dengan peruntukkan sebanyak RM8.3 juta sebagai langkah mengatasi masalah banjir terutama Kajang.

"Kita juga dalam proses mendapatkan peruntukkan sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri untuk kerja menaikkan taraf sistem perparitan di Sungai Chua," katanya

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian