PETALING JAYA - Penduduk yang berjoging di Hutan Pendidikan Gasing kini perlu lebih berhati-hati ketika melalui hutan berkenaan berikutan tanah runtuh yang berlaku kelmarin.
Hujan lebat sejak beberapa hari lalu di percayai menyebabkan tanah milik Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menggelongsor dan menimbus laluan yang menjadi kegemaran orang berjoging di situ.
Sinar Harian yang tiba di tempat kejadian tengah hari semalam, mendapati dua pekerja yang dilantik oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang memasang plastic penghadang hakisan.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memaklumkan bahawa laluan itu masih elok ketika dia berjoging pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, dia terpaksa mengubah laluan pada hari Ahad memandangkan tanah runtuh berserta pokok tumbang menimbus laluan asal.
Sementara itu, penghuni kuarters JKR berserbelahan tempak kejadian, Zainab Yahya berkata, dia tidak mendengar bunyi runtuhan dan hanya menyedari kejadian itu ketika meninjau belakang rumahnya.
Sinar Harian turut bertembung dengan beberapa pelajar yang ke hutan berkenaan untuk menyelesaikan tugasan sekolah.
Mereka menyuarakan kebimbangan jika kejadian hakisan tanah itu tidak segera ditangani, ia akan berbahaya kepada orang ramai. Ini termasuk pelajar yang ke situ untuk membuat kajian.