Alih batu | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KAJANG: Baru tiga hari jalan dibuka, ada pihak tidak bertanggungjawab melonggokkan batu besar untuk menghalang laluan. Lebih malang, dalam tempoh sebulan aduan dikemukakan kepada pihak berkaitan, tiada sebarang tindakan susulan dibuat.

Itu dilema dihadapi kira-kira 30,000 penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras, Taman Bukit Permai, Taman Desa Permai, Taman Desa Permai 2, Taman Makmur, Apartmen Green Acres, Taman Ikhlas dan Desa Budiman di sini, apabila tidak dapat menggunakan persimpangan Jalan Bukit Permai 1 dan Jalan Shahbandar 24/6 yang menghubungkan Taman Bukit Permai dan Bandar Mahkota Cheras.

Bagaimanapun kelmarin, menerusi 'Operasi Alih Batu' hasil muafakat dan kerjasama penduduk kawasan terbabit, masalah berkenaan diatasi apabila longgokan batu besar yang menghalang laluan itu 'dibersihkan' menggunakan jengkaut disewa khas. 

Wakil penduduk, Muhd Asri Abdul Rahman berkata inisiatif itu langkah terakhir yang terpaksa diambil bagi membolehkan laluan berkenaan digunakan penduduk setempat.

Katanya, penduduk turut terpaksa berbuat demikian kerana dalam tempoh sebulan membuat laporan polis dan aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), tiada sebarang tindakan susulan dibuat.

"Akibat penutupan jalan itu, ibu bapa terutama dari Bandar Mahkota Cheras terpaksa ambil masa sehingga setengah jam berbanding hanya lima minit jika menggunakan laluan berkenaan untuk menghantar anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sungai Long.

"Kesesakan lalu lintas terutama di waktu puncak di Jalan Bandar Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras sehingga persimpangan utama di Lebuh raya Cheras-Kajang (Grand Saga) bertambah teruk kerana ketiadaan laluan alternatif ke lebuh raya itu. Turut membimbangkan penduduk, penutupan laluan itu akan menyukarkan laluan jentera bomba atau ambulans jika berlaku kecemasan," katanya. 

Menurut Muhd Asri, penduduk kawasan terbabit kesal kerana ada pihak yang sanggup berbuat demikian.

Katanya, tiada siapa berhak menutup laluan itu kerana ia adalah laluan awam. 

"Menerusi mesyuarat antara penduduk dan MPKj pada 30 Januari 2008, kata putus yang dicapai adalah laluan itu dibuka kepada orang awam," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro