KAJANG 27 April - Status tanah di persimpangan Bandar Mahkota Cheras dengan Lebuh raya Cheras-Kajang yang menjadi pertikaian antara penduduk dan pemegang konsesi lebuh raya itu, Grand Saga Sdn. Bhd akan diketahui pada Rabu ini.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat akan mengenal pasti status tanah itu sama ada milik kerajaan negeri, Grand Saga atau pemaju.
"Inilah yang kita putuskan dalam mesyuarat antara Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan saya sendiri pada 23 April lepas," katanya.
Beliau yang dihubungi oleh Utusan Malaysia berkata, alasan Grand Saga bahawa tanah tersebut terletak di dalam kawasan simpanan lebuh raya, sekali gus membolehkan mereka meletak penghadang itu, adalah kurang jelas.
Sebaliknya, kata beliau, Ronnie di dalam mesyuarat itu membangkitkan persoalan bahawa tidak mungkin syarikat pemaju terbabit iaitu Narajaya Sdn. Bhd tidak memiliki sepenuhnya kawasan terbabit yang merupakan sebahagian daripada projek Bandar Mahkota Cheras.
"Namun, kata akhir mengenai isu ini bakal diketahui pada Rabu ini dan harapan kami jalan tersebut akan dibuka demi kebaikan penduduk di situ,'' katanya.
Narajaya akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat untuk mengenal pasti keluasan tanah yang dimiliki oleh mereka.
Oleh itu, kata Che Rosli, buat sementara waktu, tanah tersebut akan kekal di bawah kuasa bidang kerajaan negeri selagi Pejabat Tanah dan Daerah masih belum memberi sebarang jawapan mengenai status sebenar tanah terbabit.
Persimpangan Bandar Mahkota Cheras ke Lebuh raya Cheras-Kajang menjadi isu apabila penduduk bertindak memecahkan penghadang yang diletakkan oleh Grand Saga di persimpangan itu sejak tahun 2005 lalu.
Grand Saga dilaporkan meminta pampasan sebanyak RM200 juta sebelum persimpangan itu boleh dibuka atas alasan mereka akan kehilangan kutipan tol di Plaza Tol Batu 11.
Pada masa ini, penduduk Bandar Mahkota Cheras dan juga Sungai Long perlu melalui plaza tol itu dengan kadar tol 90 sen sehala untuk pulang ke rumah atau keluar bekerja.
Penduduk mendakwa jalan tersebut kini terlalu sesak terutama pada sebelah pagi menyebabkan mereka terpaksa keluar awal, tambahan pula mereka boleh memendek perjalanan kira-kira lima kilometer jika persimpangan yang menjadi pertikaian itu dibuka.