TASEK GELUGOR 25 April - Keputusan kerajaan mengkaji semula pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak akan menjejaskan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka tumbuh pada kadar 5 peratus hingga 6 peratus tahun ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kajian semula itu mampu menyediakan asas ekonomi negara yang kukuh untuk jangka masa panjang, khususnya dalam aspek pengagihan hasil ekonomi yang lebih cekap.
Menurutnya, pemilihan dan pengagihan projek mengikut keutamaan itu akan memberi kekuatan kepada negara melalui pengwujudan sistem yang memberi kelebihan kepada pembangunan modal insan pada masa depan.
"Tujuan kita kaji balik projek-projek bawah RMK-9 ialah kita mempunyai peruntukan pembangunan yang terhad tetapi pada masa sama perlu memenuhi banyak keperluan yang juga perlu diberi perhatian.
"Saya tidak lihat ia (kajian semula) akan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara, ia sebenarnya mampu mewujudkan asas ekonomi lebih kukuh dengan memberi manfaat terus kepada golongan sasar terutamanya yang berpendapatan rendah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama rakyat di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua di Permatang Buloh di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, mengumumkan kajian semula ke atas projek-projek di bawah RMK-9 berikutan masalah kenaikan kos.
Di bawah RMK-9, sebanyak 880 projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion dirancang pembinaannya.
Antara projek tersebut termasuk pembinaan Kompleks Perbadanan Produktiviti Negara (NPC) Wilayah Timur, fasa kedua Lebuh Raya Pantai Timur dan projek Jambatan Semporna-Pulau Bum Bum di Sabah.
Mohamed Nor berkata, kerajaan tidak berhasrat membatalkan mana-mana projek di bawah RMK-9 tetapi mahu menumpukan perhatian kepada projek-projek yang boleh memberi manfaat secara terus kepada rakyat terutamanya golongan bawahan.
"Kalau kita nak belanja lebih untuk membantu rakyat terutamanya golongan sederhana dan bawahan, maka kita perlu teliti balik (projek-projek) itu dan lihat yang mana lebih memberi faedah kepada rakyat," jelasnya.
Beliau menambah, unjuran KDNK pada tahap 5 hingga 6 peratus itu adalah berasaskan keyakinan pengembangan ekonomi yang dipacu sektor swasta melalui pelaburan serta pengukuhan dalam sektor domestik.
Katanya, unjuran itu masih rasional walaupun dunia masih berdepan dengan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan kesan berterusan krisis kredit subprima serta kenaikan harga barangan komoditi.