Kos kereta api bawah tanah empat kali ganda | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kos melaksanakan sistem kereta api bawah tanah yang dicadangkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dianggarkan empat kali ganda lebih tinggi berbanding penggunaan monorel seperti dirancang Kerajaan Pusat. 

Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Shahril Ridza Ridzuan, berkata kerja mengorek dan membina terowong bawah tanah akan menelan belanja lebih besar berbanding membina jejantas bagi laluan monorel. 

"ada mulanya cadangan MRCB adalah membina sistem laluan atas yang lebih kos efektif seperti yang dihasratkan Kerajaan Pusat. 

"Bagaimanapun, jika kerajaan negeri (Pulau Pinang) bercadang melaksanakan sistem kereta api bawah tanah...kami yakin ia mampu dilaksana tetapi kosnya sudah tentu lebih besar daripada monorel,? katanya selepas meraikan Majlis Ulang Tahun Ketujuh Stesen KL Sentral, di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa Guan Eng berhasrat menggantikan pembinaan sistem monorel di negeri itu dengan sistem kereta api bawah tanah. 

Mengenai status cadangan projek pembangunan sistem monorel itu, Shahril berkata, keputusan akhir mengenainya bergantung kepada hasil perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

"Akhir tahun lalu, kami sudah menerima surat hasrat daripada Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) bagi membina sistem monorel di Pulau Pinang. 

"Kami sedang keputusan perbincangan di antara SPNB dengan kerajaan negeri (Pulau Pinang) berhubung potensi pelaksanaan projek itu,? katanya. 

Katanya, MRCB menerima surat itu berdasarkan satu konfigurasi dan laluan khusus yang ditetapkan, namun jika ada perubahan, penilaian semula akan dibuat. 

Penganalisis pasaran sebelum ini menjangka kos pembinaan sistem monorel sepanjang 35 kilometer di Pulau Pinang itu akan membabit kos RM1.2 bilion. 

Projek itu sudah diluluskan pada peringkat Persekutuan berserta pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang disasar bakal beroperasi serentak menjelang awal 2011. 

Pada Disember lalu, SPNB iaitu syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan memberi surat hasrat pelaksanaan projek itu kepada MRCB selaku ketua konsortium pembangunan projek bersama dua lagi syarikat lain iaitu Penang Port Sdn Bhd dan MTrans Transportation Systems Sdn Bhd

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian