Lawatan Kerja Timbalan Menteri Kerja Raya ke Pulau Pinang
PULAU PINANG, 3 OKTOBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir memulakan aktiviti lawatan kerja dengan mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit Kementerian Kerja Raya dan Agensi Pelanggan bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang. Projek-projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.
Timbalan Menteri Kerja Raya kemudiannya mengadakan satu lawatan kerja meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Balai Polis Simpang Ampat. Projek pembinaan ini merupakan pecahan daripada projek naik taraf dan pelebaran jalan dari Persimpangan Permatang Keling (sek. 720) ke jambatan di atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (sek. 740), Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Pembinaan balai baharu adalah bagi menggantikan balai polis sedia ada yang bakal dirobohkan kerana terletak dalam jajaran rizab yang dinaiktaraf tersebut. Balai baharu dibina mengikut piawaian dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan perkhidmatan Kerajaan.
Selepas sahaja selesai lawatan tapak projek, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, menghadiri Majlis Penyerahan Balai Polis Bayan Lepas bertempat di Aras 1, Balai Polis Bayan Lepas.
Balai polis ini dibina semula bagi menggantikan balai polis yang telah dirobohkan kerana berada dalam jajaran projek menaiktaraf Jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merangkumi pembinaan jalan sepanjang 3 kilometer. Bangunan yang dibina mempunyai tiga tingkat dengan keluasan lantai keseluruhan 1553.7 meter persegi.
- Log in to post comments