KERAJAAN MADANI PERKASAKAN AKSES KESIHATAN RAKYAT PONTIAN DAN SEKITARNYA DENGAN PEMBINAAN BANGUNAN TAMBAHAN HOSPITAL PONTIAN
PONTIAN – Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh perkhidmatan kesihatan rakyat apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian, Johor. Projek ini merupakan antara inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi menaik taraf fasiliti kesihatan Hospital Pontian yang telah beroperasi hampir satu abad. Majlis ini turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Johor, YB Menteri Kesihatan, YB Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Pontian serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Hospital Pontian yang telah memberikan perkhidmatan kesihatan sejak tahun 1929 kepada rakyat Pontian dan sekitarnya meliputi Kukup dan Benut akan ditransformasi dari segi kapasiti dan kemudahan lain secara menyeluruh selaras dengan keperluan perkhidmatan kesihatan semasa. Bangunan warisan yang telah sekian lama menjadi nadi rawatan kesihatan penduduk setempat kini akan dilengkapi dengan fasiliti moden demi memastikan rakyat di bandar mahupun luar bandar menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, komprehensif dan selesa.
Projek yang akan dilaksanakan oleh Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini merangkumi pembinaan sebuah blok hospital baharu dengan kapasiti tambahan 110 katil, kemudahan tempat letak kereta bertingkat, kuarters Kelas F untuk petugas kesihatan serta blok Mekanikal dan Elektrik (M&E). Laluan penghubung turut dibina bagi memastikan integrasi yang lebih lancar antara bangunan baharu dan hospital sedia ada disamping mengekalkan ciri-ciri warisan sejarahnya.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi impak yang besar dalam memperluaskan perkhidmatan kesihatan di negeri Johor, khususnya untuk penduduk Pontian, Benut dan Kukup dan di masa yang sama dijangka dapat mengurangkan penggantungan terhadap dan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Penyediaan kuarters yang lebih kondusif juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan petugas barisan hadapan kesihatan.
Ketika ini, JKR sedang menyelia sebanyak 23 projek kesihatan di seluruh Johor dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.625 bilion, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan kemudahan kesihatan awam terus diperkasa dan manfaatnya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh di mana sahaja mereka berada.
Projek ini dijadualkan bermula dengan Tarikh Pemilikan Tapak pada 15 Mac 2027 dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 Januari 2032 sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kerajaan MADANI ingin menegaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan dengan penuh integriti dengan pemantauan rapi di semua peringkat pembinaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, telus dan menepati jadual bagi rakyat menikmati manfaatnya sesegera mungkin.
- Log in to post comments