Bangunan Parlimen bocor lagi | Kementerian Kerja Raya Skip to main content

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bangunan Parlimen yang telah dibaik pulih sejak kejadian bumbung bocor pada 28 April 2005, sekali lagi mengalami insiden hampir sama, ekoran hujan lebat petang ini.

Hujan lebat kira-kira pukul 4.30 petang menyebabkan air mencurah-curah keluar daripada saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua. 

Kejadian yang berlaku 15 minit selepas hujan lebat itu bukan sahaja mengejutkan para wartawan yang menggunakan laluan itu dari Pusat Media ke lobi Parlimen, malah ahli-ahli Parlimen yang bimbang kejadian bumbung bocor berulang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed bagaimanapun menjelaskan kejadian berpunca daripada kegagalan saluran hujan menampung jumlah air sehingga menyebabkannya melimpah memasuki saluran pendingin hawa.

Katanya, insiden itu bukan seperti kejadian bumbung bocor yang berlaku pada sidang sebelum ini memandangkan masalah tersebut telah diatasi dengan memasang bahan kalis air (water proofing) pada bahagian bumbung yang bocor dahulu.

"Sebenarnya kementerian telah menjadualkan kerja-kerja membaik pulih aspek mekanikal dan kejuruteraan (M&E) seperti pendawaian, saluran paip dan pendingin hawa di Bangunan Parlimen yang tidak pernah diganti sejak 45 tahun lalu,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohd. Zin berkata, kerja-kerja tersebut dijadual dilaksanakan pada Jun ini.

Beliau juga berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz untuk mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet bagi kerja-kerja membaik pulih Bangunan Parlimen secara menyeluruh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), N. Selvanayagam berkata, saluran paip yang dipasang di dalam tiang di lobi Parlimen sudah uzur dan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi menampung jumlah hujan lebat yang berlaku petang ini.

Katanya, berikutan insiden tersebut, beliau mengarahkan petugas JKR supaya melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem paip dan saluran pendingin hawa di Parlimen walaupun pemeriksaan itu telah dilakukan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula, 19 April lalu.

Mohamed Nazri ketika ditanya mengenai kejadian itu berkata, ia akan dibaiki segera.

Pada 28 April 2005, masalah kebocoran bumbung di Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang kecil iaitu penutup kabel elektrik (cable trunking) pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan.

Ekoran itu, air hujan yang terhalang telah mengalir melalui bahagian 'kanvas PVC' yang digunakan dalam pemasangan penyedut asap yang terkopak dan kemudian terus masuk ke dalam dewan.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia