YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA MENJAWAB SOALAN DI KAMAR KHAS PARLIMEN. | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA MENJAWAB SOALAN DI KAMAR KHAS PARLIMEN.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, menjawab soalan YB Tuan Zahari bin Kechik, Ahli Parlimen Jeli, berhubung keperluan menaik taraf, membaik pulih dan memasang lampu solar di Jalan Persekutuan FT198 dan FT203, Parlimen Jeli, Kelantan, dalam persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan keselesaan pengguna Jalan Persekutuan. Bagi tahun 2026, KKR telah mengenal pasti empat kerja berkala pavemen sepanjang 10.5 kilometer bernilai RM6.14 juta serta kerja mengecat semula garisan jalan sepanjang 12.5 kilometer bernilai RM455,000 bagi laluan FT198. Bagi laluan FT203 pula, satu kerja berkala pavemen sepanjang satu kilometer bernilai RM1.5 juta telah dikenal pasti.

Pelaksanaan kerja-kerja tersebut tertakluk kepada kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan serta keutamaan berdasarkan penilaian tahap kerosakan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam aspek keselamatan jalan raya, sebanyak RM3.27 juta telah diperuntukkan pada tahun 2026 bagi pemasangan lampu jalan di 35 lokasi terpilih di Kelantan. Daripada jumlah tersebut, enam lokasi di Parlimen Jeli telah siap dipasang lampu jalan solar dengan kos keseluruhan RM550,000, termasuk satu lokasi di FT198, Jalan Bukit Telaga Bijih–Kampung Air Chanal yang melibatkan kos RM50,000.

KKR turut mengambil maklum keperluan pemasangan lampu jalan di FT203, khususnya dari Kampung Legeh hingga Persimpangan Kampung Sungai Satan, untuk dipertimbangkan dalam senarai keutamaan program pemasangan lampu jalan akan datang, tertakluk kepada kelulusan peruntukan pembangunan.

KKR melalui JKR akan meneruskan pemantauan dan kerja-kerja penyenggaraan secara berterusan bagi memastikan keadaan Jalan Persekutuan sentiasa selamat dan selesa. Keutamaan turut diberikan kepada lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan demi meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2