YB. MENTERI MENINJAU MASALAH KESESAKAN DI JALAN SEMENYIH
Selangor, 25 Oktober- Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja ke Semenyih FT 001, Daerah Hulu Langat bagi meninjau masalah kesesakan yang kian meruncing. Pembangunan yang berlaku di sekitar kawasan ini secara tidak langsung telah menyumbangkan kepada masalah kesesakan yang semakin serius.
Bagi menangani masalah kesesakan di Jalan Semenyih FT 001, kementerian ini mencadangkan supaya Projek Menaiktaraf Jalan Semenyih FT 001 di Daerah Hulu Langat, Selangor dilaksanakan. Ianya melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan daripada 2 lorong 2 hala kepada 4 lorong 2 hala sepanjang 500m dengan anggaran kos berjumlah RM1.2 juta.
Memandangkan projek yang dicadangkan ini hanya melibatkan sebahagian daripada Jalan Semenyih FT 001 bagi Fasa Dua, sebagai langkah jangka panjang, kementerian akan terus memohon peruntukan kepada agensi pusat untuk menaiktaraf Jalan Semenyih FT 001 dari Kajang ke Beranang dapat dilaksanakan demi keselesaan dan kesejahteraan pengguna laluan tersebut.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Datuk Himmat Singh serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
- Log in to post comments