YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN 1447H/2025M | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT KE SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN 1447H/2025M

SERI KEMBANGAN – Kebesaran Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama isteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Tan Sri Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat; serta YB Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Bertemakan “Membangun Ummah Madani”, majlis turut menyaksikan Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Selain itu, enam tokoh lain menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW mengikut kategori masing-masing, iaitu:

Sheikh Haji Wazir Che Awang (Agamawan)

Khairul Amin Kamarulzaman (Usahawan/Teknokrat Berjaya)

Ismail Abdul Ghani (Wira Negara)

Dayang Nur Maisarah Abang Abdul Razak (Belia Harapan)

Muhammad Usamah Zaid Yasin (Pengkarya/Inovator Kreatif)

Angeline Tan (Saudara Baharu Cemerlang)

Majlis ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, bersama tetamu kenamaan lain.

Semoga sambutan ini terus menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memperteguh perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3