WACANA ILMU SIRI 4/2026: “BICARA MUFTI” SUNTIK NILAI TAQWA DALAM AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

WACANA ILMU SIRI 4/2026: “BICARA MUFTI” SUNTIK NILAI TAQWA DALAM AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini menganjurkan Wacana Ilmu Siri 4/2026 bertemakan “Bicara Mufti: Menilai Taqwa Di Sebalik Jawatan” sebagai usaha memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam serta membudayakan integriti dan amanah dalam kalangan warga kementerian.

Program yang berlangsung di Bilik Tanjung, Tingkat 6, Blok A, Kementerian Kerja Raya itu menampilkan Us. Muhammad Muazul Amin bin Mohd Adlan, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, sebagai penceramah jemputan yang mewakili Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi perkongsian ilmu yang disampaikan, para peserta diberi pencerahan mengenai kepentingan nilai taqwa sebagai asas dalam melaksanakan amanah, tanggungjawab dan tugas yang dipikul, khususnya dalam perkhidmatan awam. Jawatan bukan sekadar satu kedudukan atau keistimewaan, sebaliknya merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab kepada Allah SWT serta masyarakat.

Wacana ini turut menjadi platform untuk warga KKR menghayati bahawa kecemerlangan dalam organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaian dan prestasi kerja, malah perlu diseimbangkan dengan pembentukan sahsiah, nilai moral dan kekuatan rohani.

Majlis turut diserikan dengan Kuiz Interaktif Maulidur Rasul bagi menyemarakkan penghayatan terhadap sirah dan ajaran Rasulullah SAW, diikuti dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Majlis penyampaian cenderahati kepada penceramah telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Kementerian Kerja Raya dan turut di hadiri YBhg. Datin Seri Rosmawati Hassan, Pengerusi Puspanita Cawangan Kementerian Kerja Raya.

Penganjuran Wacana Ilmu Siri 4/2026 mencerminkan komitmen berterusan KKR dalam melahirkan warga kerja yang bukan sahaja berilmu, berkompetensi dan berprestasi tinggi, malah memiliki jati diri, integriti serta nilai spiritual yang kukuh dalam melaksanakan tanggungjawab demi agama, bangsa dan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5