TURUN PADANG TKSU DP KE RUMAH KIONG, KAPIT
KAPIT – Menyambung agenda lawatan kerja di Sarawak, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan, YBhg. Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir singgah meninjau keadaan terkini runtuhan cerun di Rumah Kiong sebelum bergerak ke lokasi kerja-kerja penyenggaraan jalan di Sibu.
Rumah Kiong telah diangkat sebagai Kampung Angkat Madani Kementerian Kerja Raya bagi tahun 2025. Antara projek yang dirancang termasuk menaik taraf bangunan dan halaman Rumah Kiong, membina tempat letak kenderaan berbumbung, pembinaan tandas tetamu, serta kerja-kerja pendawaian semula elektrik.
Iklan sebut harga bagi projek ini telah dibuka pada 1 Ogos 2025 dan ditutup pada hari ini, dengan pelaksanaan dijadualkan bermula minggu keempat Ogos sehingga minggu ketiga November.
Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan penduduk luar bandar. Selain memperbaiki kemudahan fizikal, program ini turut meningkatkan taraf hidup, menggalakkan interaksi komuniti, serta membuka peluang ekonomi baharu melalui projek pembangunan setempat yang mampan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan sosial, tetapi juga memastikan manfaat pembangunan sampai secara langsung kepada rakyat.
- Log in to post comments